Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Azhan Rani lega masalah pelekat cukai jalan dapat perhatian menteri
Diterbitkan:  Jan 4, 2023 12:35 PM
Dikemaskini: 4:35 AM

Pelakon Azhan Rani meluahkan perasaan lega apabila keluhannya berhubung kualiti pelekat cukai jalan akhirnya mendapat perhatian Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Kata Azhan, disebabkan maklum balas daripada Loke itu, dia mempunyai alasan untuk bergembira dalam menempuh tahun baru ini.

“Barulah syok nak sambut tahun baru. Ada sebab nak gembira. Ini sebut saja, tapi entah apa yang gembiranya. 

“Terima kasih tuan menteri pengangkutan kerana berani menghentikan tradisi lapuk berpuluh tahun yang tak mampu difikirkan oleh semua yang pernah memikul tanggungjawab ini dulu.

“Benda mudah, tapi buat teghok (teruk),” katanya di Instagram hari ini.

Pelakon Nur itu turut bersetuju dengan pendekatan yang diambil oleh Loke dalam meningkatkan kualiti pelekat cukai jalan seiring dengan pesat era digital.

“Yang baik tak ada sebab tak puji. Paling tepat perkataan digitalisasi. Apo (apa) nak tampal-tampal lagi, tabik buat tuan menteri dan jabatan.

“Selamat tinggal roadtax n**** Semangat sarapan aku pagi ni,” katanya sempat berseloroh.

Terdahulu, Loke dalam hantarannya di Instagram berkata, beberapa isu termasuk berkenaan pelekat cukai jalan memang berada dalam pemerhatian pihaknya.

Katanya, perkara itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat pengurusan tertinggi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi sesi 2023.

“Saya tahu ramai orang mengadu berkenaan pelekat cukai jalan yang kurang berkualiti. Perkara itu memang dalam perhatian kami dan satu perubahan besar bakal dilaksanakan tahun ini.

“Agenda utama kita ialah mempermudahkan urusan rakyat dan saya tak ingin melihat orang ramai beratur panjang di pejabat-pejabat yang menyusahkan mereka.

“Sebarang pelaksanaan inisiatif baru akan dirancang dengan rapi dan saya akan membuat pengumuman apabila persediaan sepenuhnya telah dibuat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS