Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Akta 244 tak boleh atasi peruntukan pindaan Akta Kerja 1955

Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244) tidak boleh mengatasi peruntukan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 dalam aspek jumlah waktu bekerja yang berkuat kuasa mulai 1 Jan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Prof Dr Md Nasir Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata perkara itu sekali gus tidak memberi kuasa perundangan kepada badan berkenaan berhubung isu lebih masa yang melibatkan penggiat seni.

“Maka, pandangan bahawa Finas mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan ataupun menetapkan had masa kerja penggiat seni adalah tidak tepat sama sekali malah ia bercanggah dari segi undang-undang.

“Diharapkan kekeliruan dan salah tafsir segelintir pihak mengenai bidang kuasa Finas dalam isu berkaitan kerja lebih masa melibatkan penggiat seni terutama para pelakon dan kru produksi penggambaran ini dapat diperbetulkan dengan penjelasan ini,” katanya selepas mengambil maklum mengenai isu itu yang tular di media sosial baru-baru ini.

Dia berkata kebajikan pekerja dan kelonggaran dalam tempoh bekerja yang diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 itu juga terpakai kepada penggiat industri filem yang terlibat dengan penggambaran melibatkan para pelakon dan kru produksi.

Md Nasir turut berharap agar penggiat industri cakna dengan pindaan terkini pada akta itu agar tiada salah faham timbul antara majikan dan pekerja.

Katanya ketetapan jumlah waktu bekerja yang telah dipersetujui dan ditetapkan menurut terma dan syarat kontrak antara majikan (penerbit) dan pekerja (pelakon serta kru produksi) hendaklah dipatuhi seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955.

Bagaimanapun, Dia berkata Finas akan mengambil pendekatan terbuka dan proaktif dalam hal berkenaan dan berhasrat untuk mengundang wakil-wakil persatuan perfileman seperti Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dan entiti pemegang taruh berkepentingan bagi membincangkan mengenai isu itu dalam masa terdekat.

“Finas juga bersedia dan terbuka menerima sebarang kritikan dan cadangan membina daripada semua pihak bagi memastikan kepentingan dan kebajikan pekerja industri perfileman negara sentiasa terbela dan dilindungi,” katanya.

Semalam, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar memaklumkan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 berkuat kuasa mulai 1 Jan 2023 susulan terdapat keperluan untuk menguatkuasakan akta berkenaan meskipun terdapat permintaan daripada pihak industri untuk memanjangkan tempoh penangguhan.

Pindaan itu antaranya meliputi pengurangan tempoh waktu bekerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu, penambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari, cuti paterniti dinaikkan daripada tiga hari kepada tujuh hari dan larangan diskriminasi dalam pekerjaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS