Bapa Asfan Shah iaitu Shah Rudin Md Noor menghembuskan nafas terakhir pagi tadi di kediaman penyanyi dan komposer berkenaan di Shah Alam, Selangor.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 65 tahun.
“Ayah telah pergi menghadap Maha Pencipta. Ya Allah terima kasih atas pinjaman mu,” katanya di Instagram.
Asfan, 37, berkata, dia menyedari arwah sudah meninggal dunia apabila melihat bapanya itu sudah tidak bergerak semasa ingin menunaikan solat Subuh.
“Sewaktu saya turun nak solat Subuh, tengok ayah sudah tak bergerak di dalam biliknya... dia ada kanser paru-paru, dia duduk di rumah saya pun memang pakai alat oksigen selama 24 jam sehari.
“Sebelum azan Subuh saya sempat pegang badan dia dan masih lagi terasa panas, mungkin dia baru sahaja meninggal dunia dalam tidur,” katanya dipetik mStar.
Penyanyi Sumpah Cintaku itu memberitahu Allahyarham jatuh sakit secara tiba-tiba beberapa bulan lalu sebelum disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat.
“Ayah sakit secara drastik dalam tiga atau lima bulan lepas. Bila buat pemeriksaan penuh dapat tahu dia menghidap kanser paru-paru dan sudah masuk tahap empat.
“Apa-apa pun, saya bersyukur Allah ambil ayah saya pada hari Jumaat yang mulia ini,” katanya.
Penyanyi itu memaklumkan jenazah bapanya akan dikebumikan selepas solat Jumaat di Shah Alam.