Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
4 Dekad Slank jadi 'sesi pemanas' untuk Slankers di Malaysia

ULASAN | Penangan mantap Konsert 4 Dekad Slank di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini oleh kumpulan rock gergasi itu menjadi pengubat rindu kepada ribuan Slankers (gelaran peminat Slank) sejak sekian lama.

Menguasai pentas konsert berprestij di ibu negara itu, Slank kembali ke negara ini selepas kali terakhir membuat persembahan hampir 10 tahun lalu.

Buat Slankers, ia suatu pengalaman yang mungkin tidak dapat dilupakan apabila mereka melihat band yang ditubuhkan pada 26 Dis 1983 di Jakarta itu dalam aksi memukau serta penuh tenaga selama lebih dua jam.

Tanpa berlengah, kira-kira jam 8.50 malam, Akhadi Wira Satriaji atau kerap disapa Kaka terus menghidangkan lagu sesi pemanas berentak rancak dari bonus track Virus Roadshow, I Miss You But I Hate You yang popular di era 2000-an.

Lagu itu pernah dinobatkan sebagai Lagu Rock Terbaik Anugerah Musik Indonesia pada 2002. Ia kemudian disusuli Gara-Gara Kamu sebelum vokalis itu memberi ucapan alu-aluan.

“Ini hanya persembahan warming up untuk Slank selepas hampir 10 tahun tak datang ke sini. Mudah-mudahan selepas ini, kami berharap dapat sering beraksi di sini lagi,” katanya.

Kumpulan itu seterusnya membawa penikmat muzik Slank menelusuri kerjaya seni mereka selama hampir 40 tahun bertapak melalui lagu Virus.

Tidak lengkap sekiranya pembeli-pembeli tiket tidak dipuaskan dengan lagu hit itu yang membawa banyak maksud tersirat serta sinonim dengan kehidupan beberapa anggota kumpulan berkenaan.

Lagu yang meraih sorakan padu peminat itu ditempatkan melalui album sama nama, Virus. Album tersebut dilancarkan selepas pengasas Slank dan pemain dram, Bimbim, Kaka, Ivanka (basis) pulih daripada ketagihan dadah.

Bersua Bimbim atau Bimo Setiawan Almachzumi pada sidang media sebelum konsert bermula, pemain dram itu berkata, timbul kekesalan teramat sangat gara-gara pernah terjerat penyalahgunaan dadah.

“Kami diuji dengan masalah dadah pada 1990-an. Namun, kami berjaya keluar dari masalah itu dan ia sesuatu yang buat kami sangat bangga,” katanya.

Konsert terus dihangatkan dengan kemunculan artis undangan, Ratu Rock Negara, Ella, di pentas dengan lagu berjudul Pandangan Pertama.

Lagu nyanyian asal duet Slank bersama Nirina Zubir itu merupakan runut bunyi untuk filem Get Married arahan Hanung Bramantyo.

Ella tidak ketinggalan membawa lagu solonya, Kesal dan Sepi Sekuntum Mawar Merah.

Pada segmen kedua, Slank terus memperdengarkan empat lagu, Ku Di Negeri Orang dari album I Slank You, Kirim Aku Bunga (Piss), Tong Kosong (Lagi Sedih) dan Bang Bang Tut (Minoritas).

Suasana di Zepp KL kali ini kelihatan sedikit berbeza. Tidak seperti sambutan konsert dari band lain dari Indonesia sebelum ini, peminat yang hadir sebahagian besarnya bukan dari Malaysia, sebaliknya dari negara itu sendiri.

Mungkin terdiri daripada golongan pekerja di negara ini.

Justeru, lagu dengan lirik berkisahkan seorang perantau seperti Ku Di Negeri Orang dan Mars Slankers (didendangkan pada segmen pertama sebelum itu) seakan sebati dalam diri apabila peminat dilihat menyanyi bersama Kaka sambil mengibarkan bendera Indonesia dan kain rentang tanda semangat setia dan cintakan negara.

Paling mendapat sambutan penonton apabila Kaka menyanyikan Bang Bang Tut yang pada asalnya sebuah lagu permainan orang Betawi tetapi kemudian diangkat menjadi lagu tema untuk demonstrasi jalanan bagi menjatuhkan kerajaan Indonesia pada 1998.

Slank terus membuat peminat terpaku melalui lagu hit seperti Terlalu Manis, Maafkan, Orkes Sakit Hati, dan Kamu Harus Pulang pada segmen terakhir mereka.

Paling berbekas dalam ingatan, lagu Ku Tak Bisa yang ditampilkan beberapa minit sebelum Slank melabuhkan tirai konsert pada malam itu.

Cuma kekecewaan menerjah segelintir penonton apabila Balikin dari album Tujuh yang ditunggu sejak awal konsert langsung tidak berkumandang di Zepp.

Lagu itu menceritakan bagaimana Slank bertekad untuk membebas diri daripada dadah.

Selain itu, pihak pengurusan konsert wajar mengharamkan bendera mahupun kain rentang daripada dibawa masuk ke dalam dewan konsert memandangkan penggunaan alatan itu hanya menghalang pandangan kebanyakan penonton sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati.

Kaka - yang juga ditemui pada sidang media sebelum konsert bermula - tidak dapat menyembunyikan keterujaannya apabila melihat Slank masih diterima pelbagai generasi.

Katanya, pada usia hampir 40 tahun Slank sudah mengeluarkan 24 album dan itulah kunci keberadaan mereka kerana mempunyai rutin mengeluarkan karya baru setiap masa.

“Alhamdulillah, sampai ke hari ini, kami masih diberikan kesihatan fikiran untuk terus membuat karya baru. Seseorang artis itu diingati peminat adalah kerana karya mereka,” katanya

Selain Kaka dan Bimbim, Slank turut dianggotai oleh Abdee Negara dan Mohammad Ridwan Hafiedz atau Ridho (gitaris) serta Ivan Kurniawan Arifin atau Ivanka (basis).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS