Penyanyi dan komposer Asfan Shah mendedahkan dia mengalami pengalaman "ajaib" selepas mula mendekati kumpulan tabligh apabila isterinya meminta izin untuk berniqab.
Perubahan itu, kata Asfan, membuatkan dia amat bersyukur kerana sebelum itu dia tidak pernah memaksa Ain Sakinah untuk berbuat demikian.
“Saya bersyukur dengan keputusannya sebab saya langsung tak pernah memaksa atau menyuruh dia untuk mengubah penampilan.
“Itu perkara ajaib yang Allah bagi saya. Selepas pulang dari menyertai majlis ilmu selama tiga hari di Mersing, Johor, saya diajukan permintaan yang pelik tapi benar oleh isteri.
“Dia memutuskan untuk berniqab. Dia minta izin nak tutup (aurat) betul,” katanya.
Asfan atau Norasfan Shah Shah Rudin memberitahu, Ain juga memaklumkan dia tidak mahu menyimpan pakaian yang pernah dibeli sebelum ini.
“Barang-barang lama dia dah tak nak pakai lagi. Memang isteri saya bertudung sejak berhenti kerja sebagai pramugari. Dia bertudung tapi tetap nak berfesyen sebelum ini,” katanya.
Dipilih untuk hadapi ujian
Asfan ditemui pada sidang media Sambutan Ambang Tahun Baru 2023 dan konsert Fiesto Music Fest@Melaka 2022 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Asfan akan terbabit dalam sambutan ambang Tahun Baru 2023 anjuran MEMCA di Dataran Pahlawan, Megamall Melaka yang bermula pada 29 Disember 2022 hingga 1 Januari tahun depan.
Melalui Fiesto Fest@Melaka 2022, dia akan beraksi bersama Noki dan Mk K- Clique, D_va, Iman Troye, Azlan The Typewriter, Kristal, Klangit, Dalia Farhana, Melissa, P. Radhi, Zarul The Protes, 6ixthsense, Dinamik, Akar Band, Saja dan Max.
Untuk rekod, kini kira-kira sudah setahun Asfan, 37, mendalami ilmu agama sejak hatinya terbuka untuk berbuat demikian kesan daripada menonton video pelawak Nabil Ahmad.
Penyanyi Sumpah Cintaku itu mengakui, dia sememangnya sudah lama menyimpan hasrat untuk menyertai tabligh. Luah Asfan, hasratnya itu terbuku sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama lagi.
Untuk rekod, Asfan dan Ain berkahwin pada 23 Ogos 2012. Melalui perkongsian hidup itu mereka dikurniakan tiga anak lelaki, Ali Haytham Shah, 9, Ali Wakeel Shah, 7, Ali Binyameen Shah, 5, dan seorang anak perempuan, Ayla Mecca, 1.
Asfan mengaku dia juga memperoleh banyak hikmah lain sejak bergiat aktif untuk mendalami ilmu agama. Berkat usahanya itu, dia kini berubah menjadi seorang lelaki yang lebih rasional dan penyabar.
Kongsinya, ada kenangan luar biasa dalam kehidupan terutama sewaktu bapanya didiagnos dengan penyakit kanser paru-paru tahap empat Nov lalu.
“Alhamdulillah, Allah pilih untuk uji saya dalam keadaan yang ada sedikit kefahaman. Apabila diuji dengan berita bapa saya itu, saya jadi lebih tenang untuk mengendali sesuatu situasi.
“Berbanding sebelum ini, pasti saya akan mudah jadi marah dan mempertikaikan mengapa semua ini terjadi. Namun, saya bukanlah seorang yang panas baran.
“Saya jumpa ketenangan dan memahami semua yang terjadi atas izin Allah. Kalau Allah tak izinkan, tak akan terjadi, begitu juga dengan soal rezeki, terutama jika ada projek yang dibatalkan tiba-tiba,” katanya.
Asfan berkata tahun depan dia bakal menyertai acara ijtima tabligh selama beberapa hari di Bangladesh.