Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) menyuarakan kebimbangan mereka berhubung penurunan ketara jumlah perolehan rancangan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun ini.

Menegaskan perubahan itu berkurangan melebihi 50 peratus, PTVM berkata, apa yang berlaku itu memberi kesan buruk kepada ratusan syarikat tempatan.

Presidennya Jurey Latiff Rosli berkata lebih memeritkan mereka, perolehan yang sepatutnya dilakukan dua hingga tiga kali pada tahun ini hanya dapat diselesaikan melalui satu perolehan.

“PTVM memandang berat isu ini. Denga sekali saja perolehan setakat ini mengakibatkan banyak syarikat yang tiada projek dan hilang pendapatan.

“Perkara ini berlaku adakah kerana peruntukan yang diberi Kementerian Kewangan berkurangan atau peruntukan RTM dipotong oleh Kementerian Komunikasi dan Digital?” katanya.

Jurey turut berkongsi data perolehan rancangan di RTM sejak 2018 hingga hingga sekarang dalam kenyataannya kepada Malaysiakini.

Menurut Jurey pada 2018 sebanyak 2,900 permohonan dipilih daripada 342 syarikat dan menurun kepada 2,860 permohonan daripada dipilih 361 pada tahun 2019.

Setahun kemudian katanya jumlah permohonan yang diterima ialah sebanyak 2,555 yang dipilih daripada 482 syarikat.

"Pada 2021, 4,528 permohonan dipilih daripada 343 syarikat namun pada tahun ini 1,500 permohonan dipilih daripada 133 syarikat," katanya.

Jurey pada masa sama turut mempertikaikan peruntukan perolehan yang semakin berkurangan itu dan melontarkan soalan jika ia digunakan untuk tujuan berkempen pihak tertentu sempena PRU lalu.

"PTVM berharap Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil membuat kajian menyeluruh bagi menyediakan peruntukan yang mencukupi, atau lakukan reformasi bagi menjadikan RTM entiti yang mampu menjana pendapatan sendiri, bukan hanya bergantung harap pada peruntukan kerajaan," katanya.

Menurut Jurey sejak sekian lama RTM menjadi punca pendapatan beribu-ribu syarikat.

“Harapan kami RTM mempunyai peruntukan secukupnya bagi menampung perolehan rancangan di enam stesen mereka agar badan itu dapat terus memberikan peluang pekerjaan kepada lebih banyak syarikat dan penggiat seni,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS