Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
FDAM jelajah seluruh negara nak cari 10 pengarah kompeten

“Pengarah yang baik ada, tapi kompeten (berdaya saing) tak ada,” kata Presiden Persatuan Pengarah Malaysia (FDAM), Mat London, mengulas mengenai tahap potensi bakat sutradara dalam industri negara ketika ini.

Katanya, Malaysia perlu mempunyai barisan pengarah pelapis yang karya dan bakat mereka boleh diketengahkan di persada antarabangsa supaya industri perfileman berkembang.

“Kita nak pengarah yang boleh merentas sempadan dan boleh berjaya di luar negara,” katanya.

Justeru, kata pemilik nama asal Ahmad Ibrahim itu, FDAM bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) merancang memulakan program pencarian 10 pengarah pelapis tahun depan.

Menurutnya, program itu bakal menjelajah ke enam zon di seluruh negara.

“FDAM berharap dapat mencari 10 pengarah terbaik dan berkualiti dalam negara. Kriteria kami adalah mereka dalam kalangan usia 18 hingga 35 tahun, ” katanya.

Mat London berkata demikian ketika ditemui pada majlis sembang santai bersama media di Kuala Lumpur semalam.

Papar nilai-nilai murni

Selain gerakan pencarian 10 pengarah baru itu, FDAM juga akan melancarkan tiga program lain iaitu penghargaan filem, wacana dan kursus kesan khas (special effect).

Menurut Mat London lagi, pelapis-pelapis terbabit akan diberikan latihan khusus yang bersesuaian berkaitan dunia pengarahan selain diberikan dana bantuan daripada Finas.

“Tempoh sebulan diberikan kepada 10 pengarah itu untuk menghasilkan filem pendek dan kemudian hantar penyertaan. Tugas kami adalah untuk menyaring hasil kerja mereka.

“Dana diberi bagi membangunkan pengarah itu dari sudut material. Dari situ, mereka boleh ketengahkan karya hingga ke luar negara walaupun menggunakan kos pembikinan yang rendah,” katanya.

Bagi Mat London, kos pembikinan yang tinggi bukanlah penentu untuk menghasilkan filem terbaik.

“Baru-baru ini ketika berlangsungnya Festival Filem Malaysia ke-32, Spilt Gravy On Rice (arahan Zahim Albakri) diumumkan memenangi kategori filem terbaik.

“Tapi yang kita lihat, kos tinggi bukanlah satu ukuran, filem itu pun tak mahal. Tapi kenapa filem itu yang diangkat sebagai juara filem di negara ini?

“Pada pendapat saya, sebab ia memaparkan nilai-nilai murni, perpaduan dan wajah kita. Itulah yang disifatkan sebagai filem terbaik.

“Aspek ini yang kita mahu bangunkan dalam seseorang pengarah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS