Penyanyi terkenal Siti Nurhaliza Tarudin bakal membuat kemunculan istimewa dengan menyampaikan ramalan cuaca di Berita Perdana siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam ini.
Siti Nurhaliza berharap maklumat yang dikongsikan itu dapat memberi panduan bermanfaat kepada orang ramai, terutama di saat negara berdepan musim banjir.
“Alhamdulillah, terima kasih Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang menjemput saya berkolaborasi dengan menyampaikan ramalan dan keadaan cuaca pada Rabu, 21 Disember 2022.
“Kolaborasi ini diharap dapat menggalakkan orang ramai mengikuti keadaan cuaca, dan bertindak mengikut nasihat berkaitan risiko bencana seperti banjir, angin kencang dan laut bergelora.
“Saksikan saya menyampai informasi cuaca dalam RTM1 untuk siaran berita televisyen pada jam lima petang dan lapan malam,” tulisnya di Instagram hari ini.
METMalaysia merupakan agensi di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Kolaborasi tersebut adalah kerjasama strategik Cakna Cuaca inisiatif ketua setiausaha kementerian itu, Dr Zaini Ujang.
Kehadiran penyanyi Cindai itu turut diraikan oleh Ketua Pengarah MET Malaysia Muhammad Helmi Abdullah dan warga Jabatan Meteorologi Malaysia.
MetMalaysia yang berbesar hati atas kesudian Siti Nurhaliza berkolaborasi turut memuat naik beberapa imej penghibur terkenal itu di media sosial jabatan itu.