Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Fazley tekad muncul dengan lagu baru meski dikecam sumbang

Menganggap 2023 sebagai lembaran baru penuh makna buatnya, cef selebriti dan penyanyi Fazley Yaakob bertekad untuk membuat kemunculan semula dalam bidang nyanyian walaupun suaranya teruk dikecam sumbang.

Menurut bekas peserta Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) itu, keyakinan hadir selepas mendapati lagu-lagu nyanyiannya menerima jumlah penstriman yang agak tinggi di aplikasi Spotify.

“Saya yakin kerana bukti rekod penstriman tinggi yang dimaklumkan oleh pihak pengurusan Rocket Fuel, selain itu lagu Asmara Ini juga tular di TikTok.

“Ramai anak muda mengenali Asmara Ini melalui kedua-dua platform berkenaan,” katanya.

Mengenang perjalanannya di pentas GV8, pemilik nama penuh Ahmad Fadzli Yaakob itu mengakui kritikan demi kritikan dilontarkan oleh juri profesional dalam program itu menimbulkan perasaan malu buatnya.

Namun, kata Fazley, 44, setiap publisiti yang menerima impak buruk tetap dihargainya sebagai seseorang insan seni.

“Apabila menyertai GV8, pihak Astro memberitahu, hampir setiap hari, kisah saya selalu keluar di media. Seolah-olah saya seorang yang masuk GV8 tu.

“Saya yang malu sebenarnya, tapi saya anggap berita buruk pun tetap suatu publisiti buat saya,” katanya ketika ditemui pada majlis borak santai bersama media di Suka Sucre Bistro, Hartamas, Kuala Lumpur semalam.

Fazley menjadi peserta kedua tersingkir dari GV8 pada Disember tahun lalu. Pada minggu keempat itu, penyanyi berkenaan diberikan tugas untuk menyahut tema Berdiri Bulu Romaku.

Fazley yang mendendangkan lagu asal nyanyian Hattan, Mahligai Syahdu, namun memperolehi markah terendah iaitu sekadar 50 peratus.

Dia sebelum itu menerima kecaman hebat pada minggu pertama pentas tersebut kerana sumbang dan menerima markah terendah meskipun menyanyikan lagu sendiri, Asmara Ini.

Pun begitu, kecaman demi kecaman sedikit pun tidak membuatkan Fazley berputus asa kerana menganggap bidang hiburan sudah sebati dalam diri.

Katanya, kemunculan semula itu nanti disebabkan dia ingin memuaskan hatinya sebagai pemuzik.

“Selain menyanyi, saya juga menulis lirik dan bermain alat muzik seperti piano, gitar serta dram. Namun, saya fikir generasi muda mungkin agak janggal melihat saya dalam bidang nyanyian.

“Mereka mungkin hanya kenali saya sebagai seorang cef, sebab itulah 2023 nanti saya nak penuhkan sasaran iaitu untuk tunjukkan pada mereka Fazley Yaakob masih menyanyi dan hasilkan karya baru.

“Saya kini dalam fasa menerbitkan enam lagu bersama Rocket Fuel dan DJ Fuzz. Dalam salah satu lagi itu, saya akan tampilkan seorang penyanyi wanita yang namanya akan diumumkan kelak.

“Selain itu, ada lima lagi pengeluaran muzik dan video akan dikeluarkan di Spotify,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS