Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pesta Laut Lumut tolak dadah, zina, sasar 50,000 pengunjung

Menyasarkan jumlah pengunjung kira-kira 50,000 orang, penganjur yakin Persembahan Pesta Laut Lumut, di Perak bermula 23 Disember bakal memberi impak positif pada pengunjung.

Tidak menafikan persembahan pesta itu pada tahun-tahun sebelumnya pernah terpalit perkara tidak bermoral, penganjur konsert Megat Syafnir Faree Ahmad berkata, kali ini pihaknya akan memastikan perkara seumpama itu tidak berulang.

“Kami sasarkan 50,000 pengunjung. Kami yakin Persembahan Pesta Laut Lumut 2022 boleh beri impak yang sewajarnya. 

“Kami tak perlu sorok sebelum ini memang wujud kes dadah dan zina di tapak pesta. Inilah yang berlaku apabila kebebasan diberikan kepada anak-anak muda. 

Megat Syafnir Faree Ahmad

“Apabila sudah rosak, terlalu lambat untuk ambil langkah berhati-hati.

“Sebab itulah pada persembahan kali ini akan ada pembaharuan dan pengisian munasabah berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada sidang pengumuman program berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pesta Laut Lumut 2022 anjuran Eagle Swipe Global Sdn Bhd bersama Downbeat Studio dengan sokongan Kementerian Pelancongan Malaysia akan berlangsung dari 23 Disember hingga 1 Januari tahun depan.

Pelbagai program diatur selama lapan hari pesta antaranya pertunjukan dan pertandingan e-sukan, sukan ekstrem, cosplay, sukan rakyat dan persembahan konsert.

Selain itu, Pesta Laut Lumut juga akan mengiktiraf mereka yang berjasa mengharumkan nama Perak melalui Malam Anugerah Anak-Anak Perak. 

Antara penerima anugerah ialah penyanyi Jamal Abdillah, M Daud Kilau, Ramli Mokni, Allahyarham Mamat Khalid, kartunis Lat, Ipoh Big Bro dan Mohammad Nor Mustapha (Mentari Merah).

Persembahan Pesta Laut Lumut menampilkan ramai artis-artis rock dan penyanyi era 60-an, antaranya Loving Born, Samudera, Dinamik, Teja, Kris, Azimat, Stripes, Jeffrydin, S Mariam, L Ramlie, Febians, Kugiran D Tepi Pantai dan Lipan Bara.

“Ia sebagai satu program yang ramah, iaitu kita berikan ruang kepada artis berkongsi platform untuk beraksi. Ia situasi menang-menang untuk semua,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS