Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pool ketepi rasa malas demi menyumbang melalui MyFriend.Fm
Diterbitkan:  Dec 19, 2022 9:20 PM
Dikemaskini: 1:20 PM

Ditawarkan untuk mengemudi stesen radio online MyFriend.Fm, penyampai Pool mengakui dia bersetuju memikul tugasan itu kerana memikirkan sumbangan yang boleh disampaikan pada masyarakat.

Tambahnya, dia akan meneruskan bidang penyiaran radio kerana karier itu sudah sebati dalam dirinya.

“Memang pada awal saya berasa malas, tapi apabila fikirkan bidang ini dah sebati dalam diri, justeru memang tak boleh nak elak. Mengapa tak teruskan selagi saya boleh.

“Saya lebih fikirkan sumbangan yang boleh diberikan kepada masyarakat. Kepuasannya di situ. Apabila berpegang pada perkara seperti itu, ia buat saya berasa selesa buat kerja penyampai radio,” katanya dalam satu kenyataan.

Jaga etika, tak lari jauh

Pool mengendalikan segmen Rock Track pada jam 12 tengah malam sehingga 3 pagi. Dia juga mengendalikan segmen Geng Buskers pada setiap Selasa bermula jam 9 hingga 12 malam.

Untuk rekod, selain berkhidmat sebagai penyampai radio, Pool atau nama sebenarnya Syaiful Bahrim Ahmad Dolbar juga menjalankan tugas-tugas seperti berlakon, menulis skrip dan membabitkan diri dalam bidang pengarahan.

Kata pemenang Anugerah Penyiar Versatil Terbaik menerusi Anugerah Seri Angkasa 2005 itu, apabila bekerja, dia cuba keluar dari kebiasaan radio utama.

“Di sinilah pendengar boleh dengar lagu dengan bebas. Tapi saya tetap jaga etika dan tak lari terlalu jauh,” kongsinya.

Terdahulu, sempena meraikan ulang tahun pertama, pengurusan Myfriendfm mengadakan sambutan kecil-kecilan membabitkan penyampai mereka baru-baru ini.

Turut memeriahkan acara ialah beberapa artis jemputan antaranya Shafie Rio, Bard EYE, Anjang Terra Rossa serta beberapa kumpulan Buskers.

Selain Pool, MyFriend.Fm turut membariskan penyampai Charl Tazen yang mengendalikan segmen Apa Khabar, Cakap Sukan, Bintang Malam Ini dan Kisah Orang Mati setiap Isnin, jam 9 hingga 11 malam.

Tiga bulan dipujuk

Bekas penyampai popular stesen Era dan Sinar fm, Jamal Jay Jamaluddin pula tampil dengan segmen Cetusan Hati Dan Dedikasi pada setiap Rabu, pada jam 11 malam hingga 3 pagi.

Setiap Khamis pula, dia mengendalikan segmen Borak Santai Bersama Artis Retro pada jam 11 malam 3 pagi.

Selain itu, penyampai Iera Yusoff tampil dengan segmen Cerita Kita pada jam 4 petang hingga 7 malam setiap Khamis. Dia juga terbabit dengan segmen Promo Niaga pada jam 4 petang hingga 7 malam pada setiap Jumaat.

Penyampai Teha Sukor mengendalikan segmen: Lagu Baru Artis Otai, Teka lagu, Karaoke pada jam 9 hingga 12 malam pada Jumaat.

Sementara itu, Jamal yang terkenal dengan tagline Ganda 23 berkata, dia menyertai stesen berkenaan pada Mac lalu kerana stesen tersebut memerlukan seseorang yang lama, dikenali ramai dan boleh membimbing penyampai sedia ada.

Ujarnya, dia bersetuju untuk menyertai stesen itu selepas dipujuk selama tiga bulan.

“Selama tiga bulan mereka pujuk, barulah saya setuju terima,” katanya.

Menurut Jamal, dia memberi cadangan pada pihak pengurusan untuk menjadikan MyFriend.Fm umpama radio Sinar yang memainkan lagu-lagu lama.

Katanya, dia mencadangkan untuk menjadikan konsep radio 100 peratus kepada retro memandangkan banyak stesen lain sering memutarkan lagu-lagu baru.

“Saya cakap dengan pengurusan supaya jadikan MyFriend.Fm umpama Sinar tahun pertama dan kelima yang tak mainkan lagu baru. Itu yang buat Sinar jadi stesen nombor satu pada 2010.

“Di stesen ini pun saya tampilkan formula yang sama sebab selama 15 tahun tiap-tiap malam begitu. Kelebihan di sini ialah tiada protokol. Janji asalkan putar lagu retro saja.

"Mereka nak stesen ini yang lebih tenang dan mengingatkan nostalgia.

"Saya juga seronok dapat bawa artis rock lama datang studio. Selain itu saya juga tampilkan artis retro tanah air sebagai artis undangan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS