Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Sesuai namanya, persembahan band cukup dipuja peminat di Indonesia, Malaysia dan Singapura baru-baru ini memang bukan sekadar biasa-biasa.

Beraksi di atas pentas untuk meraikan jubli perak penubuhannya, persembahan Padi Reborn tidak menghampakan sama sekali.

Meskipun usia semakin meningkat, lima anggotanya iaitu vokalis Fadly, Piyu (gitar), Ari (gitar), Rindra (bass) dan Yoyo (dram) memberikan persembahan sehabis baik dan kekal bertenaga selama lebih tiga jam beraksi.

Kebanyakan lagu dipersembahkan kumpulan yang asalnya menggunakan nama Padi sejak 1997 itu tidak diberi sentuhan baru, sebaliknya mengikut susunan muzik asal bagi mengembalikan nostalgia lagu-lagu tersebut.

Karakter vokal Fadly berupaya membuat lagu menjadi ‘manis dan deep’ ketika dinyanyikan sekali gus mengimbau zaman penggunaan kaset dan walkman - yang membuatkan ramai teringat bagaimana mereka pertama kali jatuh hati kepada muzik dimainkan band asal Surabaya itu.

Konsert Padi Reborn 25 Years malam itu yang dibanjiri lebih 2,500 Sobat Padi menyaksikan ruang berdiri di CAT 1 dan CAT 2 penuh sesak dan hampir tiada ruang walaupun untuk maju sedikit ke depan bagi mendapatkan sudut merakam gambar dengan lebih baik.

Segelintir peminat mengenakan jaket kulit, berjeans, dan berkasut sneakers, namun kehadiran mereka yang meraikan Padi Reborn 25 Years di Zepp KL pada malam itu boleh dikatakan ramai terdiri daripada kalangan mereka yang berusia lewat 30-an.

Persembahan dimulakan kira-kira jam 8.40 malam dengan kemunculan Fadly - atau nama penuhnya Andi Fadly Arifuddin - menyanyikan Bayangkanlah.

Sangat membekas di hati

Lagu dari album Sesuatu Yang Tertunda itu disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh Sobat Padi kerana ia cukup sinonim dengan band berkenaan yang pernah mendapat pengiktirafan bukan saja di Indonesia malah pada Anugerah Industri Muzik Malaysia 2001 melalui kategori album terbaik.

Peminat terus melepas ‘dahaga’ melalui melalui Sang Penghibur sebelum Fadly, 47, memberi ucapan pembukanya pada malam itu.

“Kami bersyukur dapat bertemu Sobat Padi di Malaysia bagi melepas rindu sempena ulang tahun Jubli Perak kali ini,” katanya.

Padi Reborn ada banyak lagu hit namun satu lagu yang barangkali sangat ditunggu-tunggu ialah Menanti Sebuah Jawaban.

Lagu yang berkisah tentang seseorang mengharapkan cinta tetapi tidak dibalas itu paling membekas di hati.

Penonton menyanyi lagu itu bersama-sama sambil merakam momen berkenaan dengan telefon genggam masing-masing.

Menambah sejarah konsert itu ialah kemunculan penyanyi terkenal Sheila Majid yang sempat menceritakan bagaimana ada banyak band cuba merisiknya untuk membuat persembahan bersama.

“Banyak band menjemput saya namun muzik mereka amat berbeza dengan saya,” katanya.

Mereka memilih lagu Kasih Tak Sampai - juga dari album Sesuatu Yang Tertunda - disusuli duet Antara Anyer Dan Jakarta serta Warna dari lagu popular Sheila yang mendapat tepukan gemuruh khalayak.

Padi Reborn turut mempersembahkan secara akustik bagi mewujudkan mood yang lebih santai melalui lagu seperti Rapuh, Lain Dunia, Harmoni dan Seperti Kekasihku.

Berdiri sebagai seorang penghibur, Fadly bijak menjalin komunikasi dengan penonton. Dia juga sesekali berseloroh dan mengambil peluang menzahirkan penghargaan kepada Sobat Padi Malaysia yang setia bersama kumpulan itu sejak sekian lama.

Sempat mencuri ruang, Fadly turut menunjukkan apresiasinya kepada selebriti tempatan seperti Amy Search dan Ezad Lazim yang hadir menyaksikan konsert tersebut.

Sambil memetik gitar, penyanyi itu meyampaikan lagu Alasanmu dari Exist dan Isabella dari Search disaksikan oleh Ezad dan Amy di ruang penonton.

Konsert malam itu menyaksikan kumpulan berkenaan turut menyanyikan lagu-lagu yang lazim di cuping telinga peminat seperti Sesuatu Yang Indah, Mahadewi, Seandainya Bisa Memilih, Semua Tak Sama, Sobat dan Jangan Datang Malam Ini.

Band itu kembali ke Malaysia dengan sebuah konsert perdana melalui jenama Padi Reborn. Kira-kira 2,000 Sobat Padi hadir pada Padi Reborn Live Exclusive In KL yang diadakan pada 2018 itu.

Padi Reborn 25 Years dilihat berupaya menjadi pemangkin zaman kegemilangan mereka untuk mengemudi arah baru selepas tempoh “vakum” selama tujuh tahun sebelum ini.

Mereka memutuskan untuk kembali bersama pada 2017.

Justeru tidak hairanlah sekiranya penjualan tiket Padi Reborn 25 Years dua hari sebelum itu dikhabarkan laku keras oleh penganjur dan pengarah Qew Comm.

Seiring dengan pengumuman itu, Rahizahwati Yahya, berhasrat mendermakan RM1 bagi setiap hasil jualan kepada kanak-kanak asnaf.

Namun, demi Sobat Padi, Padi Reborn sudah boleh memikirkan konsert sempena meraikan hari istimewa yang seterusnya pada lokasi berskala lebih besar memandangkan hasil jualan tiket untuk dua konsert sebelum ini laku keras.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS