Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Finas enggan ulas isu 'remeh' dibangkit Ahmad Idham, Eizlan

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Senator Zurainah Musa beranggapan isu dibangkitkan dua penggiat industri berhubung dakwaan sebuah persatuan menyeleweng dana sebanyak RM40,000 daripada badan itu sebagai remeh.

Menurutnya, Ahmad Idham dan Eizlan Yusof hanya pandai bercakap sedangkan Finas memainkan peranan untuk membantu industri melalui Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) pada Pameran Hantu Filem sempena Festival Filem Malaysia ke-32 baru-baru ini.

“Kalau mereka kata ada konflik kepentingan, apa yang nak dikonflikkan? Saya rasa hal ini terlampau remeh.

“Apa yang sedang kami lakukan adalah untuk industri kreatif dan mengiktiraf kru-kru di belakang tabir kalau kita buka rumah hantu, siapa yang memainkan peranan adakah usahawan di luar sana? Artis atau kru?

"Yang menganjurkan adalah persatuan bukan ahli lembaga saya. Orang nak komen apa saja memang mudah,” katanya.

Terdahulu, Malaysiakini menyiarkan kenyataan Ahmad Idham bahawa dia tidak kisah sekiranya Presiden Persatuan Pengarah (FDAM) Mat London berniat untuk 'menelanjangkannya' di depan khalayak atas tuduhan terbabit isu rasuah kerana yakin dia berada di pihak yang benar.

Ia susulan Ahmad Idham yang juga bekas ketua pegawai eksekutif Finas itu mempertikaikan mengapa Presiden Mat London atau nama sebenarnya Ahmad Ibrahim menyalahgunakan kuasa bagi menjalankan projek Pameran Hantu Filem itu.

Bagaimanapun, semua tuduhan dilemparkan Ahmad Idham dan Eizlan dinafikan oleh Mat London yang juga ahli Perbadanan Finas.

Susulan itu, Ahmad Idham memfailkan satu laporan di Balai Polis Ampang semalam mengenai isu penyelewengan dalam projek Pameran Hantu Filem bersempena Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) di Melaka.

Pada masa sama, Zurainah memberitahu dia terbuka sekiranya ada pihak tidak berpuas hati untuk berjumpa dan berbincang dengannya.

Namun, dia berkata tidak kisah sekiranya Ahmad Idham dan Eizlan lebih terbuka memilih jalan yang lain.

“Jika ada masalah, datang berjumpa saya dan bincang.

“Jika nak publisiti gunalah media tapi kalau nak jalan penyelesaian datang jumpa kami, katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS