Dengan sekali lafaz pendakwah bebas, Da'i Syed sah bergelar suami kepada pengacara, Nurulhana Ismail, pada majlis pernikahan di Masjid Ibnu Mas’ud, Kuala Lumpur pada jam 11.43 pagi hari ini.
Dalam majlis tertutup itu, pemilik nama penuhnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful dinikahkan bapa pengantin perempuan, Ismail Dahwan dan disaksikan Penolong Pendaftar Nikah, Mohd Nazri Yacob.
Pasangan itu tidak berbalas dulang hantaran kerana ia sudah dijalankan terlebih dulu sewaktu majlis pertunangan mereka sebelum ini.
Hana juga menerima mas kahwin seutas gelang emas. Bagaimanapun jumlah wang hantaran dirahsiakan.
Majlis dihadiri kira-kira 100 orang itu terdiri daripada anggota keluarga dan rakan-rakan terdekat pasangan pengantin. Anaranya ialah rakan artis yang juga pelakon seperti Umie Aida dan Irma Hasmie.
Syed yang juga penyanyi itu dikenali umum selepas penyertaan dalam rancangan realiti agama, Da'i Pendakwah Nusantara musim keempat pada 2016.
Terdahulu, berita pertunangan Syed diuar-uarkan oleh Umie Aida melalui akaun Instagram miliknya sekitar Nov lalu. Namun, Syed dipercayai sudah bertunang lebih awal iaitu pada 23 Okt.
Pasangan itu bakal diraikan dalam majlis resepsi pada malam ini di Shah Alam.