Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Melly Goeslaw hadirkan 'denyut' apresiasi buat P Ramlee

Muzik Allahyarham P Ramlee yang ‘melekat’ di sanubari Melly Goeslaw membuatkan penyanyi dan komposer terkenal Indonesia itu ingin menunjukkan apresiasi tertinggi terhadap Seniman Agung berkenaan melalui konsert pertamanya di negara ini.

Bagi Melly, 48, karyawan sepanjang zaman itu adalah seorang pemuzik genius yang memberinya inspirasi untuk melahirkan karya-karya bermutu tinggi dan kreatif.

Menurut penulis lirik itu, pertama kali dia diperkenalkan dengan karya P Ramlee adalah sewaktu berada di negara ini dan pada masa sama sedang mengandungkan anaknya yang pertama.

“Jika fikir logik, tak masuk akal manusia seusia saya pada ketika itu untuk mencintai karyanya hingga saya berasa negara ini sangat beruntung kerana mempunyai pemuzik yang sangat genius.

“Memang ramai promoter cuba melamar saya sejak dulu, jadi saya tetapkan dua syarat sekiranya suatu hari ingin mengadakan persembahan di sini.

“Antaranya izinkan saya beri penghargaan kepada komposer besar itu yang banyak melahirkan runut bunyi filem seperti saya mengikut cara saya - dan syarat itu dipersetujui oleh penganjur konsert, Iman Tang dari Icon Entertainment,” katanya.

Pemilik nama penuh Melliana Cessy Goeslaw itu berkata, seorang seniman pasti ingin dikenang melalui karya-karyanya.

Justeru, ujarnya, dia ingin menyatukan “denyut” muzik dari Indonesia dan Malaysia untuk konsert Ada Apa Dengan Melly? (AADM) Live In Kuala Lumpur yang dijadual berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 3 Februari depan.

“Saya rasa seorang seniman itu keinginannya hanya satu, iaitu dikenang. Begitu juga dengan saya jika buat konsert di Malaysia, riuh tepuk tangan, pujian dan yang pasti diharapakan adalah dikenang.

“Saya harap denyut Indonesia dan Malaysia boleh disatukan dalam sebuah karya pada 3 Februari depan. Yang berdenyut itu bukan saja dari saya tapi kerana saya akan libatkan pemuzik di sini,” jelasnya.

Melly berkata demikian pada sidang media pengumuman AADM yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam. Hadir sama, suaminya yang juga komposer terkenal Indonesia, Anto Hoed.

Untuk rekod, Melly dan Anto berkahwin pada 1995 dan hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki, Anakku Lelaki Hoed, 22 dan Pria Bernama Hoed, 19 tahun.

Melly Goeslaw satu nama yang cukup ikonik dalam dunia seni Indonesia dan tempatan dari segi penghasilan lagu, penulisan lirik serta nyanyian.

Runut bunyi untuk filem Ada Apa Dengan Cinta lakonan Nicholas Saputra dengan Dian Sastrowardoyo juga pernah meledak hasil sentuhan magis wanita itu.

Tentang Seseorang, Ada Apa Dengan Cinta, Ku Bahagia, Jika, Ketika Cinta Bertasbih, Ayat Ayat Cinta antara lagu hits dipopularkan Melly. Penyanyi itu juga pernah terkenal bersama band Potret yang ditubuhkan bersama suaminya.

Melly dan Anto sempat menziarahi pusara P Ramlee dan Allahyarhamah Saloma di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, sebaik tiba di ibu kota kelmarin. Pasangan itu juga berkesempatan untuk bertemu dengan cucu Saloma.

Sementara itu, berkongsi lanjut mengenai konsert sulungnya, Melly berkata, AADM, sebuah kembara seni yang hadir sempena 30 tahun dia sebagai penghibur dan pengkarya.

Melly dan Anto juga berharap peminat hadir menggayakan pakaian seragam sekolah mengikut tema konsert tersebut.

“Kami ingin mengembalikan nostalgia zaman remaja kerana biasanya yang paling banyak menyimpan kenangan adalah zaman persekolahan dan reunion.

“Karya popular saya yang masih dikenang adalah Ada Apa Dengan Cinta dan Eifel I’m In Love. Dengan menyarung pakaian seragam, kita semua setara,” kata Melly.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS