Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Takkan baru kenal dah nak dukung, kata Zul Ariffin

“Konsepnya, baru berkenalan... nak dukung macam mana?” kata Zul Ariffin mengenai pembabitannya sebagai jejaka yang menjadi rebutan 13 wanita dalam program Pencuri Hati.

Pelakon itu mengulas demikian susulan namanya sebelum ini sering terpalit kontroversi mendukung beberapa pelakon wanita atau heroin dalam projek-projek drama yang dijayakannya.

Walaupun Pencuri Hati diklasifikasi untuk penonton berumur 18 tahun ke atas serta berkemungkinan menjurus ke arah sesuatu yang 'panas' Zul memberi jaminan rancangan berkenaan masih mempunyai batasan.

“Saya memberi kepercayaan kepada seluruh produksi biarpun pada awal lagi sudah nampak potensi ke arah panas, namun program ini bukanlah memaparkan kisah saya berjanji temu semata-mata.

“Walaupun saya tak buat kajian dengan menonton program seumpamanya sebelum menerima tawaran ini, dari segi batasan, saya pasti ia berbeza daripada rancangan-rancangan yang pernah diterbitkan di AS atau Korea Selatan,” ujarnya.

Diminta mengulas isu pemilihan pakaian dan kesemua peserta berimej seksi, Zul, 36, bagaimanapun berkata, dia tiada kena mengena dalam soal itu.

“Saya baru saja pulang dari umrah dan kemudian dimaklumkan mengenai program Pencuri Hati.

“Ambil masa juga sebelum menerima tawaran namun kemudian saya melihatnya sebagai cabaran dan pengalaman baru dalam karier saya.

“Soal pemilihan pakaian tak ada kena mengena dengan saya. Ia diuruskan oleh produksi dan juga peserta sendiri.

“Tapi pemilihan pemenang terakhir dilakukan oleh saya," jelasnya yang ditemui pada majlis pelancaran Pencuri Hati di sebuah restoran di Petaling Jaya semalam.

Tak ramai kawan perempuan

Untuk rekod, antara babak dukung membabitkan Zul yang pernah mencetuskan kontroversi ialah lakonan dia bersama Intan Najwa dalam drama Setelah Ku Dimiliki, dan Siti Hariesa (Perempuan Itu).

Namun, pelakon Talbis Iblis itu mendakwa babak dia mendukung beberapa pelakon wanita atau heroin drama hingga mencetuskan kontroversi adalah 'permainan industri' yang sudah dirancang.

Pencuri Hati menonjolkan peserta-peserta dengan personaliti menarik yang bakal memenangi peluang untuk mengenali Zul dalam tempoh selama 24 jam.

Setiap episod bakal menguji peserta secara individu dan berkumpulan dalam pelbagai cabaran seperti masakan, fotografi dan sukan lasak.

Kesemua 10 episod program realiti itu akan ditayangkan di Sooka mulai 9 Dis ini hingga 10 Febr tahun depan.

Sherry Alhadad dan Dr Say Shazril tampil selaku penasihat residen dan pebimbing peserta dalam program tersebut.

Zul berkata, Pencuri Hati bertujuan memberi peluang kepada peserta wanita untuk berkomunikasi dengannya dalam pelbagai perkara berkaitan selok-belok industri hiburan.

Pun begitu, ujarnya, program itu memberikan cabaran tersendiri kerana tidak mempunyai skrip, selain menyifatkan dirinya seorang lelaki yang gagal dalam hal-hal romantik.

“Saya harap penonton boleh melihat sisi baik program itu terutama tentang pentingnya komunikasi kerana saya gagal dari sudut itu. Saya juga tak tahu hal-hal romantik.

“Saya bukan selalu keluar dan ada ramai kawan perempuan. Kalau ada pun, rakan artis dan kami berlakon, jadi ia perkara berbeza apabila berkomunikasi dengan 13 wanita,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS