Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tabung kutipan sumbangan untuk Nad Zainal dilancarkan
Diterbitkan:  Nov 30, 2022 8:18 AM
Dikemaskini: 12:48 AM

Satu tabung kecemasan bagi membantu menampung kos rawatan pelakon Nad Zainal yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta dilancarkan.

Pengarah dan penerbit Shahrulezad Mohameddin berkongsi perkara itu di media sosial malam tadi.

“Ramai sudah maklum mengenai pelakon Nad Zainal yang masih dirawat di ICU sejak minggu lalu.

“Tabung kecemasan ini adalah inisiatif rakan-rakan serta peminat Nad Zainal bagi menampung kos rawatan perubatannya di hospital pakar untuk membantu meringankan beban keluarganya.

“Bagi yang prihatin, mari kita sama-sama berganding bahu untuk bantu,” katanya.

Pada 21 Nov lalu, Nad dimasukkan di ICU Hospital Ampang Puteri akibat pendarahan paru-paru dan diintubasi bagi merehatkannya.

Selepas dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, ibu kepada dua cahaya mata itu semakin menunjukkan perkembangan positif malah sudah beberapa kali membuka mata.

Shahrulezad turut meminta orang ramai menguar-uarkan kutipan derma tersebut, selain tidak putus mendoakan agar pemilik nama lengkap Farah Nadia Zainal Abidin itu kembali pulih dan sihat seperti sediakala.

“Jangan kita lupa titipkan doa untuk Nad Zainal agar kembali pulih sepenuhnya dan jangan lupa juga untuk kongsikan post ini agar lebih ramai dapat turut membantu,” katanya.

Dalam hantaran sama, pemilik rumah produksi RadiusOne itu berkongsi alamat e-mel, [email protected] untuk penderma memberikan resit sebagai bukti sumbangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS