Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shuib nafi dah ada rancangan bernikah tak lama lagi

Pelawak dan penyampai radio Suria FM menafikan desas-desus dia bakal mendirikan rumah tangga dengan wanita dikenali Watie Hanifiah pada hujung tahun ini.

Shuib yang mengakui terkejut dengan cakap-cakap belakang itu berkata, dia dimaklumkan perkara terbabit oleh rakannya, Ajak.

“Ajak beritahu dia ada terserempak dengan seorang pemilik katering yang mendakwa sudah menerima tempahan makanan untuk majlis persandingan saya.

“Lima hari lalu pula Ajak bertanya adakah saya akan berkahwin hujung tahun ini.

“Ketika diajukan soalan itu, saya terpinga-pinga kerana tak faham apa yang cuba disampaikan,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Shahmira Muhammad itu, sekiranya benar dia akan berkahwin, Ajaklah antara individu terawal yang akan dimaklumkan perkara itu.

Malah katanya ketika dia mula mengenali Watie, Ajak antara orang pertama yang diberitahu mengenainya.

“Jika ada pihak mendakwa saya berjumpa pemilik katering atau tukang buat baju, semua itu adalah dusta.

“Ada pihak yang buat fitnah dengan menjual cerita yang tidak betul,” ujarnya.

Belum cukup masak menilai

Shuib, 38, berkata demikian ketika ditemui pada majlis Inilah Suria Bersama Penyampai Suria FM di sebuah hotel di Petaling Jaya hari ini.

Shuib sebelum ini kehilangan isterinya, penyanyi terkenal Siti Sarah Raisuddin yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pada 8 Ogos tahun lalu.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2011 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; Ariq Matin, 6; dan Ayash Affan, 1.

Shuib pada masa sama turut menafikan spekulasi kedua yang mendakwanya bakal mendirikan rumah tangga pada Mac depan.

Katanya, ketika ini memang tiada sebarang perancangan dibuat untuk mengadakan perkahwinan kerana perkara utama yang diberi fokus ialah kesihatan mental anak-anaknya.

“Jauh lagi perjalanan ke arah itu sebab saya nak pastikan anak-anak boleh terima kehadirannya dulu (Watie).

“Perkenalan dua hingga tiga bulan belum cukup masak untuk menilai dia.

“Namun alhamdulillah hubungan kami berjalan lancar dan anak-anak serta mak saya pun suka pada dia,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS