Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Elizabeth Tan hilang keyakinan diri hidap alopesia

Pelakon dan penyanyi Elizabeth Tan mengakui keyakinan dirinya sebagai penghibur sering berkurangan gara-gara dugaan masalah alopesia areata - atau keguguran rambut kritikal - akibat penyakit autoimun yang dihidapi sejak kecil.

Kata Elizabeth atau lebih mesra disapa Lizzy, dia mengalami kebotakan rambut sebanyak 12 kali sejak masalah kesihatan itu didiagnos pada 2018.

“Saya alami autoimun sejak berusia setahun yang menyebabkan saya menghidapi masalah kulit.

“Setiap kali tompokan botak baru timbul, saya rasa sedih dan tertekan.

“Pada 2018, saya mula alami tompokan botak di rambut dan saya tertekan kadang-kadang ia merebak menjadi lebih besar.

“Dan wajah kulit saya bertompok-tompok, ketika ini saya menyembunyikan warnanya di sebalik mekap,” katanya.

Menurut penyanyi Semua Sudah itu, masalah yang dihidapinya tiada penawar dan dia perlu bergantung pada krim steroid untuk menghentikan tompokan tersebut daripada merebak.

Tambah Lizzy, 29, alopecia itu juga menimbulkan kebimbangan untuknya mendapatkan zuriat kelak.

“Alopesia juga boleh menyebabkan bulu kening hilang jadi saya bimbang jika anak yang lahir juga akan menghidapi masalah sama,” katanya.

Lizzy berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Festival Filem Malaysia ke-32 di Hotel Swiss Garden, Kuala Lumpur, hari ini.

Tidak mendedahkan penyakit yang dialami sebelum ini, Lizzy berkata dia enggan meraih simpati orang ramai.

Namun, bagi pelakon Misteri Dilaila itu sudah sampai masanya dia memberitahu peminat perkara tersebut.

“Sebelum ini, saya tidak pernah mendedahkan perkara itu kepada orang ramai, terutamanya peminat.

“Saya tak mahu orang rasa kasihan dengan penyakit yang saya alami,” katanya.

Disebabkan masalah kesihatan itu, dia terpaksa menolak tawaran sebuah produksi yang memerlukannya untuk memotong rambut

Alasannya, Lizzy bimbang sekiranya penyakit tersebut membuat rambutnya lambat tumbuh.

Saya pun baru tolak tawaran untuk membintangi sebuah filem yang memerlukan saya memotong rambut seperti lelaki.

“Saya takut rambut lambat tumbuh dan alopesia kembali menyerang selepas saya memotong rambut,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS