Gara-gara tular kenyataannya mahu menyembelih golongan tertentu dalam sebuah klip video, Zul Huzaimy mendakwa dia menerima ugutan daripada pihak yang tidak dikenali.
Malah kata pelakon terbabit, ugutan tersebut masih diterima hingga ke hari ini.
“Disebabkan video itu, saya menerima ugutan tetapi saya sudah laporkan itu kepada polis,” ujarnya.
Namun, pemilik nama penuh Zul Huzaimy Marzuki itu enggan mendedahkan lebih banyak butiran mengenai hal tersebut, termasuk bentuk ugutan yang diterimanya.
Tambah Zul, ia disebabkan kes berkenaan masih dalam siasatan polis.
“Saya juga sudah dipanggil polis dan memberikan kerjasama penuh,” jelasnya.
Zul berkata demikian ketika ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Daddyku Gangster, di sebuah kompleks beli-belah di Cheras kelmarin.
Naskhah aksi komedi terbitan syarikat produksi D’Ayu Pictures Sdn Bhd itu diarah oleh Ismail Bob Hashim. Daddyku Gangster dijadual menemui penonton mulai 1 Dis ini.
Filem itu berkisahkan Ray (dilakonkan Zul) iaitu seorang ketua kumpulan pencuri kereta kereta mewah. Dia juga melibatkan diri dalam kegiatan pertarungan di gelanggang haram milik Pablo (Jay Iswazir).
Terdahulu, Zul, 43, yang juga terkenal dengan watak Spark dalam filem Remp-it memohon maaf melalui Instagram kerana berkata dia berniat mahu menyembelih orang bukan Islam.
Dia dituduh mengeluarkan kenyataan tersebut sewaktu menjadi panel dalam sebuah ceramah politik di Kemaman, Terengganu pada 4 Nov lalu.
Namun, pelakon itu mendakwa, kenyataannya dalam video terbabit telah disunting pihak tertentu.
Susulan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kijal, Kemaman pada jam 2.45 petang, 14 Nov lalu oleh seorang individu.
Polis membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ekoran kenyataan yang didakwa berunsur ekstremis itu, Zul mengakui kesal dengan kata-kata yang dilontarkannya.
Kata pelakon Wayang itu, sebagai manusia dia memang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan berjanji untuk lebih berhati-hati dalam menuturkan kata-kata selepas ini.
“Saya manusia biasa yang tak lepas daripada melakukan kesilapan dan ada masanya tersasar gunakan perkataan tak sesuai.
“Semua orang bertanya, adakah yang berkata-kata sedemikian itu adalah saya? Mereka pelik kenapa saya jadi begitu. Itulah, apa yang berlaku adalah pengajaran buat saya.
“Saya bukanlah artis yang suka cari kontroversi, sebelum ini mana pernah nama saya terpalit kontroversi,” tuturnya.