Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Farid Kamil gelisah promosi Remp-it 2 dibayangi gelora politik

Farid Kamil mengakui dia agak tertekan apabila rangka promosi dan tayangan filem pertama terbitannya, Remp-it 2, bertembung dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 serta dikaburi pengumuman perdana menteri ke-10.

Namun di sebalik ‘dugaan’ yang tidak dijangka itu, pengarah terbabit tetap berharap Remp-it 2 tetap disambut dengan baik oleh orang ramai apabila mula menjengah layar perak semalam.

“Promosi yang dijalankan sedikit sebanyak memang terganggu.

“Sudah tentu ia perkara sukar bagi penerbit baru macam saya untuk menguasai pemikiran penonton terutama poster filem saya perlu berperang dengan poster serta bendera politik.

“Alhamdulillah, lepas PRU ke-15 berakhir, promosi ini diteruskan hingga ke Sabah dan Sarawak,” katanya.

Namun, kata pemilik nama penuh Farid Kamil Zahari itu, mungkin ada sinar harapan lain buatnya selepas kesempatan berkunjung ke Indonesia sewaktu menjalani penggambaran filem Anwar Ibrahim turut digunakan bagi mempromosi Remp-it 2.

Farid, 41, memberitahu pihak di sana memberi respons memberangsangkan apabila dia menyatakan hasratnya untuk menayangkan filem bercorak aksi tersebut di negara berkenaan.

“Mereka nampaknya sukakan filem ini kerana genre permotoran tidak pernah dihasilkan di Indonesia,” ujarnya pada majlis pratonton Remp-it 2 di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Filem itu berkisahkan kehidupan Madi - watak dilakonkan Farid - selepas 16 tahun kejadian tidak dijangka menimpa dia dan Spark.

Madi kemudian berazam untuk tidak berlumba secara haram dan meninggalkan dunia rempitnya untuk memberi fokus sebagai pelumba profesional.

Untuk legenda sukan pemotoran

Remp-it 2 adalah sambungan Remp-it yang dihasilkan pada 2006. Filem berkenaan berjaya meraih kutipan RM4.5 juta.

Selain Farid, turut menjayakan filem itu ialah Cat Farish, Ahirine Ahirudin, Julia Hana, Izzue Islam, Niezam Zaidi, Farez Ridzwan, Shiha Zikir, Mamak Puteh, Rudy GTB, Gabit Saleh dan Shahkimin.

Izzue Islam

Anak Farid, Muhammad Kamil juga membuat penampilan sulungnya melalui filem itu.

Mengulas kerelevanan filem itu selepas 16 tahun versi pertama ditayangkan, Farid berkata, Remp-it 2 menitikberatkan kandungan lebih matang serta sesuai ditonton semua lapisan masyarakat.

Tambahnya, filem itu juga menampilkan adegan perlumbaan motosikal Asia Road Racing yang tidak pernah dihasilkan dalam filem tempatan lain.

“Selepas 16 tahun, tentu ada banyak perubahan yang mematangkan berlaku dalam hidup Madi, yang dulu seorang mat rempit kini bermain di litar lumba sebenar.

“Filem ini juga ditujukan kepada legenda sukan permotoran negara yang banyak mengharumkan nama di persada antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, mengulas pemilihan Ahirine Ahiruddin bagi menggantikan tempat Nabila Huda hingga menampakkan perbezaan ketara dari segi lakonan, Farid menjelaskan keputusan terpaksa dibuat pada saat-saat akhir disebabkan beberapa masalah teknikal.

Katanya, sebenarnya produksi sudah menjalankan separuh penggambaran dengan Nabila tetapi akibat kesilapan teknikal dari segi tarikh, perubahan terpaksa dibuat serta-merta.

“Asalnya, Ahirine adalah pelakon lagak ngeri bagi aksi motosikal.

“Pemilihan pelakon juga dipilih berdasarkan kemahiran menunggang motosikal kerana sebagai penerbit, saya tidak mahu sebarang risiko berlaku terhadap kesemua barisan pelakon.

“Saya memang inginkan pelakon yang pandai hidupkan enjin dan apabila pakai topi keledar sudah tahu bawa motosikal, tanpa saya perlu risau,” jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS