Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Orang politik' bayar band rock veteran RM50 seorang

Seorang ahli politik dikhabarkan memberi 'token' RM50 seorang kepada sebuah kumpulan rock veteran yang dijemput untuk mengadakan persembahan semasa kempen pilihan raya umum (PRU) baru-baru ini.

Presiden Rockers Apa Khabar, Megat Syafnir Faree Ahmad, berkata sikap penganjur terbabit sangat dikesali dan boleh dianggap menangguk di air keruh.

“Ya, perkara itu benar-benar terjadi, dan individu yang menawarkan RM50 seorang itu adalah seorang ahli politik sebagai bayaran untuk persembahan kumpulan terbabit di Melaka," katanya.

Menurut Megat Syafnir lagi, ketua kumpulan rock berkenaan sudah tua dan gigih berusaha mengumpulkan kembali bandk tersebut untuk membuat kemunculan semula.

Namun katanya mereka kecewa apabila diperlakukan sebegitu.

“Jangan merendah-rendahkan martabat anak seni dan mengambil kesempatan ke atas mereka.

"Mentang-mentanglah ada manusia terdesak dan perlukan wang, tapi mujur mereka menolak tawaran itu,” sindirnya.

Bagaimanapun, Megat Syafnir enggan menamakan ahli politik terbabit atau memperincikan maklumat lanjut mengenai kenyataannya itu kerana enggan membuka aib mana-mana pihak.

“Saya kenal penganjur itu. Tapi tak perlu untuk saya buka aib sesiapa,” ujarnya semasa ditemui pada sidang media pelancaran Pesta Laut Lumut 2022 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur semalam.

Pesta itu dijadual berlangsung antara 23 Dis ini hingga 1 Jan tahun depan bermula dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam.

Bagi Megat Syafnir, 49, penganjur persembahan seharusnya cakna mengenai kadar bayaran sesuatu persembahan anak seni apatah lagi sekiranya mereka terdiri daripada kumpulan yang berpengalaman.

Justeru, katanya, tidak wajar perkara sedemikian berlaku kerana seseorang yang bergelar senior sepatutnya semakin dihargai.

“Kamu merendah-rendahkan anak seni untuk apa? Untuk cari modal bercerita: Ya, aku ada bayar kumpulan rock ini RM50?

“Orang beginilah yang merendah-rendahkan martabat anak seni sedangkan dia kononnya sering memperjuangkan nasib mereka.

“Hakikatnya, individu terbabit buat untuk kepentingan sendiri saja,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS