Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Artis juga dambakan pemimpin bebas rasuah, jaga amanah

Kehagatan bahang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 semakin dirasai dan esok akan menjadi hari penentuan buat rakyat Malaysia memilih siapa yang mereka inginkan untuk menerajui negara.

Penggiat seni tidak ketinggalan menyuarakan pendapat mereka yang menginginkan pemerintahan kali ini berpaksikan pada amanah dan tanggungjawab untuk menjaga rakyat.

Pelakon dan penyanyi Danny X Factor misalnya berkata, dia ingin melihat hanya individu yang bebas daripada sebarang palitan rasuah berjaya dipilih esok.

“Setiap kali PRU saya tak akan melepaskan peluang untuk pulang mengundi kerana dapat pulang ke kampung saya di Kelantan.

“Seperti selalu saya ingin calon yang bekerja untuk rakyat dipilih, bukan bekerja untuk mengenyangkan diri sendiri.

"Sebagai wakil rakyat mereka mesti dahulukan orang ramai dalam apa jua perkara, bukannya kemahuan sendiri.

“Tolong buat kerja dan bertanggungjawab dengan amanah diberikan. Jangan songlap duit,” katanya kepada Malaysiakini.

Danny (kanan) dan Lah Ahmad

Selain itu kata Danny, dia berharap parti yang mampu menawarkan sistem penjagaan kesihatan awam yang dipertingkatkan dipilih sebagai pemenang.

Misalnya kata Danny lagi kemudahan pembiayaan khas dan klinikal kepada pesakit buah pinggang.

“Saya ingin lihat bantuan dari segi kebajikan kesihatan yang lengkap demi kesejahteraan, bantu mereka yang memerlukan sokongan dan rawatan,” tambahnya.

Bagi penyanyi Lah Ahmad pula, dia berharap pemerintah baru bertindak ibarat sebuah ketua keluarga.

Program terus lepas 5 tahun

Kata bekas anggota kumpulan VE itu, sebagai ketua keluarga sewajarnya pemimpin terbabit berusaha menjadikan negara ini seperti sebuah keluarga yang sejahtera.

“Insya-Allah semoga kita dapat pemerintah yang jujur, ikhlas, benar dan amanah.

“Saya berharap pemerintah itu nanti dapat menjaga negara ini dengan penuh kasih sayang, seperti ayah yang melindungi anak-anaknya dengan sepenuh hati,” ujarnya.

Sementara itu, pemain gitar kumpulan Estranged, Solihuddin Hormat, berkata setiap perancangan pembangunan dan ekonomi yang dilakukan kerajaan baru selepas esok biarlah memberi faedah berpanjangan demi masa depan semua rakyat.

Menurutnya, rancangan pembangunan itu harus mampu seiring dengan cabaran semasa yang wujud gar taraf hidup dan kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan.

“Paling penting pemerintah itu ada wawasan jangka panjang. Sekiranya tidak lagi berkuasa selepas lima tahun nanti, rancangan itu tetap beri faedah berterusan.

“Dari segi industri muzik pula, saya ingin lihat dari sudut kebajikan pemain muzik tanah air terjaga dan nasib mereka diperjuangkan, manakala profesionalisme golongan ini dipertingkatkan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS