Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Jika hati cantik maka cantiklah seseorang itu...'

Seniwati veteran Noorkumalasari berkata kecantikan paras rupa pelakon sepatutnya bukan dinilai dari segi luaran semata-mata sebaliknya turut mengambil kira aspek dalaman.

Menurutnya, jika seseorang itu memiliki "hati yang cantik" maka individu terbabit akan turut cantik secara serentak.

“Cantik mempunyai banyak maksud dan bagaimana kita melihatnya dari sudut apa.

“Sudah pasti yang paling penting, perangai dan sikap seseorang pelakon dalam menjalankan tanggungjawab pada watak yang diserahkan.

“Pelakon perlu memiliki sikap yang baik dengan menghormati pelakon lain dan pengarah di lokasi. Kalau hati kita cantik, jadi cantiklah orang itu,” katanya.

Pada masa sama, Noorkumalasari menjelaskan, bukan mudah untuk menjadi pelakon kerana mereka perlu menjadi orang lain di depan kamera.

Misalnya, Noorkumalasari bercerita, ketika berlakon dengan Allahyarham Jins Shamsuddin, dia perlu menangis sehingga jam 3 pagi untuk menjiwai watak dalam filem berkenaan.

Ia menjadi sukar, katanya, kerana sebelum itu dia baru saja ketawa.

“Namun, menerusi bantuan coach dan Jins, filem berkenaan berjaya,” kata pelakon yang popular dengan lakonannya dalam filem Misteri Rumah Tua itu.

Sharifah Rose dan Hariz Hamdan

Selain Noorkumalasari, turut menjadi panel ialah Ahli Jawatankuasa Persatuan Penerbit Filem Malaysia yang juga Pengarah Urusan Skop Production, Yusof Haslam dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Md Nasir Ibrahim.

Forum berkenaan dianjurkan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (Wham) dengan kerjasama Finas serta FSKK untuk menyemarakkan Festival Filem Malaysia (FFM) ke-32 yang bakal berlangsung 2 Dis ini.

Isu cantik atau kacak berbanding bakat menjadi polemik dalam kalangan pengguna Internet selepas A Aida menyatakan pandangannya yang mengutamakan paras wajar seseorang berbanding bakat.

Noorkumalasari, 66, juga berkongsi kisah bagaimana dia tidak menumpang pada nama besar kedua ibu bapanya untuk mendapat tempat dalam dunia seni.

Berlakon tanpa ilmu asas

Sebaliknya, kata pelakon Menanti Hari Esok itu, sejak bergelar model dia memilih untuk berusaha mencipta nama sendiri dari bawah sehinggalah ke hari ini.

“Saya bermula sebagai model, penyanyi dan kemudian pelakon. Semuanya bermula dengan tawaran dari Allahyarham Aimi Jarr yang ingin mencari pelakon berambut panjang.

“Arwah adalah kawan rapat arwah mak dan saya ditawarkan untuk berlakon dalam filem pertamanya tanpa sesi uji bakat.

“Saya juga mahu mencuba bakat selepas mendapat kebenaran daripada arwah mak. Dengan bantuan guru lakonan dan Allahyarham Jins Shamsudin filem itu juga berjaya,” katanya.

Sementara itu, pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Kekasih Hati Mr Bodyguard, Sharifah Rose, tidak menafikan paras rupa memainkan peranan penting untuk seseorang pelakon.

Katanya, wajah yang jelita membantu membuka laluan lebih luas buat pelakon sepertinya untuk menceburi bidang seni memandangkan dia tiada pengalaman ketika diminta menghadiri uji bakat drama Kekasih Hati Mr Bodyguard.

“Saya diminta membaca dan menghafal skrip drama itu dan bertemu dengan heronya iaitu Redza Rosli. Namun, tak sangka apabila ditawarkan watak heroin.

“Saya juga meminta pandangan ibu bapa sebelum menerima tawaran berkenaan kerana masih belajar dan menyambung pengajian di peringkat ijazah ketika itu,” katanya.

Sharifah Rose berkata, tidak mudah baginya untuk menjadi seorang pelakon kerana dia terjun ke bidang lakonan tanpa sebarang ilmu asas terlebih dulu.

Katanya, paling mencabar adalah apabila pengarah meminta dia melontarkan dialog.

“Sepanjang tempoh dua minggu persediaan dibuat, ia sangat mencabar. Saya difahamkan karakter saya hanya jenis happy go lucky tapi sebaliknya ada babak trauma kena rogol dan sebagainya lagi,” jelasnya.

Bagi pelakon baru yang digilap bakatnya menerusi pertandingan Hero Remaja 2020, Hariz Hamdan, jika penerbit hanya memilih pelakon yang cantik dan kacak saja, lebih baik mereka mengambil model untuk berlakon dalam produksi mereka.

Katanya, sewajarnya kelebihan pelakon itu bergantung pada prestasi lakonan kerana bakat boleh membawa seseorang untuk pergi jauh dalam bidang tersebut.

“Sebagai pelakon adalah sangat penting untuk kita memberikan prestasi lakonan yang bagus di lokasi,” ujarnya.

Hariz atau nama sebenarnya, Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, berjinak-jinak dalam dunia lakonan menerusi drama Lelaki Lingkungan Cinta terbitan Zeel Production.

Katanya sebelum ini dia juga tidak mempunyai pengalaman berlakon namun bertuah apabila diberi peluang untuk selepas menyertai pertandingan Hero Remaja .

“Saya juga mahu mencuba bakat sebagai bintang filem,” katanya yang masih menanti tayangan dua filem lakonan iaitu Banglo Seksyen 12 dan Jemputan Ke Neraka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS