Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bertanding di Sabak Bernam, Eizlan faham kegetiran golongan B40
Diterbitkan:  Nov 15, 2022 8:43 PM
Dikemaskini: 12:43 PM

“Saya berasal dari keluarga B40, jadi saya faham keperitan hidup dan kita boleh duduk bersembang dengan saya,” luah calon Pejuang-GTA, Eizlan Yusof, yang mendedahkan kisah hidupnya.

Kata pelakon terkenal itu, mungkin ramai tidak tahu dia pernah hidup dengan rumah berbumbungkan atap zink bocor, malah hanya mempunyai sepasang seluar sekolah dari tingkatan satu hingga lima.

Justeru, Eizlan bersyukur apabila dibukakan pintu untuknya menjadi calon untuk mewakili penduduk Sabak Bernam dalam pilihan raya umum (PRU) kali ini.

Katanya, rezeki itu merupakan satu rahmat dan menguatkan lagi semangatnya untuk berjuang dan membantu golongan yang kurang bernasib baik.

“Saya bersyukur sebab Allah buka banyak pintu sehinggalah ke hari ini menjadi calon parlimen di Sabak Bernam," katanya.

Tambah pelakon yang pernah membintangi filem Aji Noh Motor dan Paskal itu, dia pernah dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri Finas dan dianggap layak oleh bekas pengerusi agensi berkenaan, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, kerana dilihat berjiwa 'tisu'.

“Ahmad Idham beritahu saya paling layak sebab jiwa saya tisu, jadi saya memang ada masalah apabila berdepan dengan orang yang ada kesukaran (dalam hidup),” katanya.

Tambah Eizlan, sekiranya diberi mandat untuk mewakili rakyat di Sabak Bernam, dia memberi jaminan untuk menyelesaikan beberapa isu.

Antaranya, kelemahan liputan jalur lebar internet dan talian telefon, mennaikkan sektor ekopelancongan, pertanian dan peluang kerjaya golongan belia.

Katanya, penubuhan jawatankuasa komuniti di dua kawasan dewan undangan negeri (DUN) di bawah parlimen Sabak Bernam bagi mengumpul isu-isu baru dan lama, buat kertas kerja dan bawa ke peringkat atasan.

Eizlan juga berkata, dia komited untuk meneruskan khidmat dan baktinya di Sabak Bernam dan menjadi kumpulan pendesak walaupun ditakdirkan gagal memenangi kerusi itu.

“Saya adalah orang yang suka bekerja dan bukan hanya bercakap kosong semata-mata.

“Jika kalah sekali pun, saya akan terus mendesak wakil rakyat supaya menyelesaikan apa sepatutnya selaras dengan tanda pagar #jomkitabuatkerja,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS