Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Fazley nasihat pengundi bijak nilai politikus 'main badminton'
Diterbitkan:  Nov 15, 2022 5:25 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

Berbaki kurang daripada empat hari lagi menjelang hari mengundi, penyanyi Fazley Yaakob, menyeru agar pengundi bijak membuat pilihan untuk mengangkat wakil rakyat masing-masing.

Katanya, setiap ahli politik ibarat pemain badminton yang memang lazim menggunakan segala helah untuk mengalahkan lawan.

Hakikatnya dia yang juga cef selebriti itu menjelaskan semua ahli politik yang bertanding hanya mahukan kemenangan.

Cuma menurutnya lagi, dalam mengejar kemenangan itu tidak ramai ahli politik yang mengamalkan politik bersih.

“Ada masa dia (orang politik) smash, ada masa dia main net, ada masa dia rally panjang-panjang lepas tu baru smash.

“Bila smash tu ada masa dapat point, ada masa lawan dapat bertahan, ada masa smash tu sia-sia.

“Apabila namanya berpolitik, mesti ada pihak yang nak menang. Cuma sayangnya, tak semua bijak berpolitik bersih, masing-masing gemar sangat #characterassasination,” ujarnya di media sosial hari ini.

Bukan hantaran berbayar

Tambah Fazley, 44, ketika ini pengundi bukan lagi perlu memilih parti sebaliknya melihat siapa 'pemain badminton' yang dirasakan layak menggalas amanah rakyat.

“Kita yang jadi penonton kena bijak tengok pemain mana yang dipilih.

"Memang seronok tengok masing-masing smash, net, dropshot, back hand, trickshot.

“Namun realitinya bukan parti yang kita pilih tapi siapa yang kita yakin. Zaman pilih parti dah lama berlalu. Zaman sekarang individu tu jauh lebih penting,” jelasnya.

Fazley mengakhiri hantarannya itu dengan berkata, kenyataan yang dibuat itu bukan dibayar oleh daripada mana-mana pihak atau parti.

Sebaliknya, menurut penyanyi Seandainya Daku Bersalah itu menjelaskan hantaran tersebut dimuat naik kerana dia suka memerhati situasi politik dalam negara, sama seperti menonton orang bermain badminton.

“Jangan risau, post ini tidak berbayar, tidak dibayar, bukan kerja pempengaruh tapi sekadar pemerhati yang suka main badminton,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS