Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Rayuan terhadap pembebasan Jason Lo didengar 6 April 2023
Diterbitkan:  Nov 9, 2022 4:28 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

Rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret membebaskan penyanyi Jason Lo daripada pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam badannya, akan didengar 6 April tahun depan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Peguam Datuk Hariharan Tara Singh mewakili Jason Lo atau nama sebenarnya Jason Jonathan Lo berkata mahkamah menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nur Azizah Jaafar hari ini.

“Pendengaran permohonan itu akan berlangsung secara fizikal pada 9 pagi di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin. Perayu (pendakwaan) dan responden (Jason) diminta memfailkan hujahan bertulis masing-masing pada 24 Mac dan 3 April 2023,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Prosiding hari ini dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan dan seorang lagi peguam yang mewakili Jason iaitu Effa Azuin Aidrul Hisham.

Pada 24 Jun lepas, Majistret Mohamad Fared Abdul Latif membebaskan Jason Lo yang juga ahli perniagaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Jason Lo, 47, didakwa memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badannya tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang, di tandas pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di Jalan Travers , Brickfields pada 5.15 petang, 15 Nov 2019.

Pendakwaan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan diwajibkan pengawasan di bawah seliaan pegawai pemulihan sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS