Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jamal Abdillah akui 'spin' isu tanpa pengetahuan politik
Diterbitkan:  Nov 8, 2022 6:48 PM
Dikemaskini: 10:48 AM

Raja pop tanah air Jamal Abdillah memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan DAP susulan videonya yang tular sejak beberapa hari lalu.

"Kerana saya 'spin' perkara itu dalam keadaan saya tidak mengetahui.

“Sebagai rakyat Malaysia, memanglah kita tidak mahu perkara-perkara sebegini berlaku.

"Apapun, kepada DAP khususnya, saya mohon ribuan ampun dan maaf sebab kesilapan itu saya telah lakukan," katanya menerusi hantaran video di Twitter.

Jamal melalui video TikTok itu, memberikan pesanan supaya tidak mengundi DAP dengan membangkitkan beberapa isu seperti laungan azan dan sekolah tahfiz yang dikaitkan dengan parti itu.

"Pasal melalui perbincangan dengan kawan-kawan, perkara ini menjadi isu.

"Saya tanpa pengetahuan dalam politik, hanya kerana kebimbangan terhadap generasi akan datang, saya buat video itu.

"Jadi video itu, rasanya tak sepatutnya saya buatlah. Walaubagaimanapun, saya harap peminat bersama mempertimbang dan menilai adakah benar apa yang saya cakap. Pernah atau tidak terjadi, terpulang kepada masing-masinglah.

"Semoga dengan pencerahan ini tidak ada lagilah tuduhan saya buat fitnah. Ini kerana isu pernah tular empat, lima tahun dulu kan," katanya lagi.

Video TikTok penyanyi lagu Kekasih Awal dan Akhir itu turut mendapat maklum balas pengguna di media sosial yang menyoal kesahihan dakwaan Jamal itu.

Antaranya, Chor Kole di Twitter yang membangkitkan peruntukan Majlis Agama Islam Pulau Pinang antara yang paling besar di Malaysia.

Dalam perkembangan sama, seorang pengguna Twitter, Syarifah Amin yang dipercayai anak kepada S Amin Shahab, penulis lirik lagu-lagu ketuhanan Jamal turut meminta Raja Pop itu untuk bertenang susulan dakwaan mengenai isu sekolah tahfiz dan larangan Azan.

Kata Syarifah Amin, malah ayahnya menyokong tindakannya menyertai DAP.

Untuk rekod, pada 2016 Yang Dipertua PAS Padang Serai Shaharuddin Ibrahim pernah memohon maaf kepada DAP dan kerajaan Pulau Pinang berhubung kenyataannya yang mendakwa akan berlaku larangan azan di masjid-masjid sekiranya DAP memerintah.

Ini selepas exco kerajaan negeri Pulau Pinang Datuk Abdul Malik Abul Kassim menggesa Shaharuddin menarik semula kenyataan berkenaan kerana didakwa sebagai fitnah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS