Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
PRU15: Hos TV ‘Joe Aziz’ ceburi politik untuk bela nasib anak Felda

Dilahir dan dibesarkan sebagai anak Felda dianggap sebagai satu kelebihan buat calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Sembrong Aziz Ismail, yang mencuba nasib menceburi bidang politik penuh berliku untuk memberi kesedaran serta membela nasib anak peneroka khususnya di Johor.

Hos rancangan di stesen televisyen berbayar yang lebih dikenali sebagai Joe Aziz, 38, berkata sebagai anak jati Felda dari Bukit Tongkat di Sembrong, menjadi satu penghormatan kepadanya apabila pucuk pimpinan PN memilihnya sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Ini satu cabaran besar untuk bertanding di Parlimen Sembrong, yang umum mengetahui ia merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN), tetapi dari sudut lain, ini adalah suara dan peluang saya memperjuangkan nasib anak-anak Felda di sini serta di seluruh Malaysia,” katanya ketika temu bual eksklusif bersama Bernama di Kluang hari ini.

Aziz berkata sebagai anak Felda, beliau amat memahami keluhan, rintihan dan pelbagai masalah yang telah lama dihadapi oleh anak-anak peneroka di kawasannya, seperti isu perumahan bagi generasi kedua anak felda.

“Rumah generasi pertama yang didiami bersama ibu dan ayah sudah tidak selesa, kerana mereka terpaksa menetap bersama adik beradik yang lain yang semuanya sudah mempunyai keluarga sendiri.

“Kawasan yang dijanjikan untuk projek perumahan generasi kedua ialah di Kahang dan Ulu Penggeli, namun masih tidak nampak bayang sehingga ada anak peneroka yang sejak usia 17 tahun sehingga berumur 51 tahun, masih menanti projek itu,” katanya.

Joe Aziz mula popular menerusi beberapa klip video yang memaparkannya meniru gaya percakapan pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Fadzilah Kamsah sekitar tahun 2017, sebelum terus mengukir nama dalam dunia hiburan sehingga ditawarkan menjadi hos beberapa rancangan televisyen.

Selain memperjuangkan isi perumahan itu, Joe yang wajahnya seiras penyanyi dan komposer Faizal Tahir, turut mempunyai fokus untuk mengembangkan ekonomi di Sembrong dengan menumpukan aspek pertanian dan penternakan, serta menyediakan peluang pekerjaan bagi anak-anak muda di kawasan itu.

“Ramai anak-anak Felda mempunyai kelulusan yang bagus, tetapi terpaksa keluar ke bandar untuk mencari pekerjaan kerana gaji yang ditawarkan tidak setanding dengan kelayakan mereka,” katanya yang mengidolakan bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pada PRU15, Parlimen Sembrong menyaksikan saingan tiga penjuru melibatkan penyandang yang juga Menteri Kanan Pertahanan BN Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, calon Pakatan Harapan (PH) Hasni Abas dan Aziz sendiri.

Hishammuddin yang merupakan Bendahari Agung BN bertanding di kerusi Parlimen Sembrong sejak 2004 dan pada PRU14 beliau mempertahankan kerusi Parlimen itu dengan majoriti 6,662 undi.

Terdapat seramai 54,982 jumlah pengundi berdaftar di Parlimen Sembrong pada PRU15 kali ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS