Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Vida mengaku tak bersalah buat komunikasi sumbang
Diterbitkan:  Nov 8, 2022 12:12 PM
Dikemaskini: 4:12 AM

Vida - atau nama sebenarnya Hasmiza Othman - hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat hantaran komunikasi bersifat sumbang.

Dia didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, di hadapan hakim Ahmad Fuad Othman.

Tertuduh yang berusia 51 tahun didakwa kerana hantaran video berjudul Muah Muah Raya ketika menjelang sambutan Aidilfitri pada April lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berkenaan menggunakan perkhidmatan aplikasi YouTube atas nama DSV Entertainment.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika sabit kesalahan Vida yang terkenal sebagai usahawan kosmetik itu boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Dia juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Sementara itu timbalan pendakwa raya dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Fazril Sani Mohamed Fadzil, mencadangkan Vida diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Adnan Seman yang mewakili ahli perniagaan itu merayu agar jumlah tersebut dikurangkan kepada RM2,000 kerana ia merupakan kali pertama personaliti terbabit dituduh di mahkamah.

Ahmad Fuad membenarkan Vida diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Dis depan untuk serahan dokumen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS