Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penganjur konsert Doa Buat Zamani kecewa dituduh tanpa usul periksa

Penganjur konsert Doa Buat Zamani kecewa apabila niat untuk membantu penyanyi itu yang dianggap seperti abang sendiri akhirnya seolah-olah memakan diri.

Wakil Indera Entertainment, Saiful Ahmad atau lebih dikenali sebagai Aalan berkata, Zamani wajar mengambil maklum bahawa penganjuran konsert pastinya akan ada kemungkinan untung dan rugi.

“Maruah saya tercalar, imej syarikat juga terjejas. Saya kecewa apabila tujuan untuk membantu Zamani berakhir dengan tuduhan tanpa usul periksa.

“Saya menguruskan perjalanan karier Zamani sejak 2014. Jadi saya dah anggap dia macam abang sendiri.

“Zamani patut faham mengenai risiko penganjuran konsert itu sebab saya terlebih dulu sudah memaklumkan kepadanya perkara tersebut,” katanya ketika sidang media khas bagi menjelaskan perkara itu di sebuah restoran di Ampang, Selangor hari ini.

Menurut Aalan, ini adalah kali pertama konsert seumpama itu dianjurkan tanpa penaja dan dia sanggup mengambil risiko itu memandangkan Zamani dalam keadaan memerlukan.

“Sekurang-kurangnya saya dah cuba. Di mana kawan-kawan Zamani yang lain ketika dia berada dalam kesusahan?

“Ramai orang persoalkan kenapa konsert tetap dibuat sekiranya tiada penaja, saya bukan tak cuba cari tapi dalam keadaan sekarang susah, dana kreatif yang dimohon juga ditolak,” jelasnya.

Sebelum ini, luahan hati isteri Zamani, Nur Juliana Abd Rani yang mendakwa suaminya tidak mendapat bayaran selepas menjayakan Konsert Doa Buat Zamani mengundang tanda tanya.

Berkongsi imej Zamani membuat persembahan di konsert yang berlangsung pada 30 September lalu itu, Nur Juliana berkongsi luahan perasaannya yang ditujukan kepada seseorang individu di media sosial.

Nur Juliana berkata apa salah Zamani sehingga menerima layanan sebegitu sedangkan dia meletakkan sepenuh kepercayaan kepada individu yang dikenalinya.

Menurut Nur Juliana lagi, Zamani amat kecewa dan dia bimbang sekiranya berlaku perkara tidak diingini ke atas suaminya yang bakal menjalani pembedahan akibat masalah tulang belakang bengkok atau skoliosis pada minggu depan.

Mengulas lanjut, Aalan mendakwa sebanyak 365 tiket konsert telah terjual - kategori tempat duduk Rindiani dijual sebanyak 72 keping, Nur Kasih (214), Maria Mariana (31), Kurnia (48) dengan kutipan keseluruhan berjumlah RM107,120.

Katanya, jumlah itu kemudiannya dicampur dengan tiket pembelian yang dibuat Tuanku Permaisuri Selangor, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM116,120.

Aalan

Namun, dakwa Aalan, wang kutipan itu digunakan untuk membayar segala kos berkaitan antaranya sewa pentas, pemuzik, artis undangan dan permit Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencecah RM111,485.

“Selepas ditolak kos itu, baki yang tinggal di tangan ialah RM4,635. Itulah pendapatan yang akan diberikan kepada Zamani mengikut rundingan asal 70/30,” katanya lagi.

Bagi menyelesaikan segala tuduhan dilemparkan terhadapnya, Aalan berharap dapat bersemuka dengan penyanyi itu dan isterinya.

Katanya, dia bukan seorang yang akan melarikan diri sekiranya timbul sesuatu masalah.

“Saya memang nak bersemuka. Kalau boleh Zamani bawa isterinya sekali.

“Dah tiga hari saya cuba hubungi dia namun mesej dan panggilan telefon tidak dibalas. Kalau saya penipu, pasti saya melarikan diri,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS