Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Beri sokongan membina, bukan menjatuhkan – Lah Ahmad

Penyanyi wajar memberi kritikan membina, bukannya menjatuhkan rakan artis sesama sendiri sekiranya ingin kekal lama dalam industri, kata bekas anggota kumpulan VE, Lah Ahmad.

Menurut penyanyi itu - yang kini selesa bergerak solo - industri muzik tanah air amat kecil, justeru tidak salah sekiranya seseorang artis menyokong perjuangan rakan seangkatan.

“Kita bagi sokongan malah doa buat rakan sendiri sekiranya melihat prestasi mereka cemerlang. Industri ini kecil. Ini baru di sini, di Padang Mahsyar nanti bagaimana? 

“Jangan buat kesalahan walau sebesar zarah. Jadi, pastikan pendapat yang nak disuarakan itu membina,” katanya.

Menggunakan dirinya sebagai contoh, pemilik nama penuh Abdullah Ahmad itu berkata, dia sendiri amat mengambil berat mengenai rakan-rakan artis dengan bertanyakan khabar mereka.

Katanya, dia akan berkongsi kegembiraan sekiranya ada di antara mereka menunjukkan prestasi cemerlang khususnya.

 “Saya pun hubungi rakan jika mereka keluar album untuk ucapkan tahniah,” ujarnya.

Terdahulu, seorang lagi bekas anggota VE, Damien Mikhail lantang mengeluarkan kenyataan di media sosial dan kritikannya dipercayai ditujukan kepada kumpulan itu walaupun tanpa menyebut mana-mana pihak.

 Ia susulan VE menyertai program realiti Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9). Antara kritikannya, dia tidak bersetuju dengan pembabitan mereka dalam program realiti serta mengharapkan elaun minggu selain diminta melakukan persembahan lari daripada gaya asal artis berkenaan.

 Mengulas lanjut, Lah berkata, dia sentiasa mengambil tahu mengenai perkembangan VE walaupun sudah tidak menganggotai lagi kumpulan berkenaan.

 Katanya, dia menyokong pembabitan dan usaha VE di pentas GV9 untuk merebut gelaran juara.

“Saya ikuti persembahan mereka setiap minggu. Jika terlewat tonton pun disebabkan saya sibuk, namun saya tetap pastikan tidak ketinggalan untuk menyaksikan perjuangan mereka.

“Saya suka mereka menyertai GV9 kerana bukan mudah untuk bersaing di pentas itu apatah lagi membawakan cabaran yang pelbagai.

“Malah saya sanjung mereka kerana mampu menyanyikan lagu orang lain,” tuturnya.

Lah berkata demikian pada majlis pengumuman 25 years Lah Ahmad Live In Concert di Petaling Jaya Live Performing Arts Centre (PJPAC) di Petaling Jaya semalam.

Konsert itu adalah konsert sulung Lah, 42, selepas showcase yang diadakannya pada 2018 mendapat sambutan hangat. Konsert itu akan menampilkan dan meraikan album keempat penyanyi itu yang berjudul ‘Jatuh’.

Untuk rekod, tiket konsert itu habis dijual selepas kaunter dalam talian dibuka semalam.

 25 years Lah Ahmad Live In Concert dijadual berlangsung di Stage 1 Theater PJPAC 1 Utama E pada 28 Januari tahun depan.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS