Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
GTA bawa perubahan besar calonkan anak seni dalam PRU15

PRU15 | Penerbit, pengarah dan pelakon, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, menganggap tindakan Gerakan Tanah Air (GTA) mengumumkan anak seni menjadi calon pilihan raya adalah perubahan besar dalam landskap politik negara.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ahmad Idham menjelaskan, secara umumnya rakyat kali ini diberi pilihan untuk tidak memilih calon yang terdiri daripada ahli politik semata-mata.

“Sebelum ini saya banyak lakukan kerja-kerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk hab pendidikan khas danpucuk pimpinan GTA melihat ia patut diperjuangkan hingga ke Dewan Rakyat.

“Apabila terpilih mewakili rakyat nanti, saya harap boleh kembangkan lagi skop untuk memperkasa sistem pendidikan khas negara.

“Pada peringkat awal, ia akan masuk ke Port Dickson sebagai projek perintis (pilot)," katanya.

Terdahulu, Ahmad Idham yang mewakili NGO Gagasan Bangsa diumumkan sebagai calon GTA untuk kerusi parlimen Port Dickson di Negeri Sembilan pada majlis pengumuman di Bangi, Selangor hari ini.

Dia akan menentang Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, yang diumumkan bertanding di situ mewakili Pakatan Harapan (PH).

BN pula meletakkan bekas ahli parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan, manakala PN mempertaruhkan Rafiei Mustapha.

Bukan penentu kemenangan

Selain Ahmad Idham, GTA turut mengumumkan seorang lagi personaliti hiburan, Idris Md Yusof atau lebih dikenali Eizlan Yusof yang akan bertanding di Sabak Bernam.

Kedua-dua penggiat seni itu bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Pada majlis sama, seramai 121 calon mewakili Pejuang, Gagasan Bangsa, Putra dan Berjasa serta calon individu diumumkan.

Kata Ahmad Idham, ketika ini tiada artis lain yang memperjuangkan matlamat pendidikan khas untuk golongan kelainan upaya selain dia.

"Masyarakat boleh melihat ini adalah satu produk perjuangan yang nyata,” katanya.

Ditanya adakah pengaruhnya sebagai selebriti boleh membantu memenangi kerusi berkenaan, Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan itu berkata, populariti sebagai anak seni mungkin memberi sedikit kelebihan buatnya.

Namun, ujarnya, ia bukan penentu kemenangan.

Dan sekiranya ditakdirkan kemenangan berpihak padanya, menurut Ahmad Idham, 48, dia ingin membantu merancakkan kembali Port Dicskon sebagai bandar pelancongan.

Menurutnya, dia ingin melihat peniaga kecil di kawasan pantai terbabit merasai kesan limpahan daripada sektor ekonomi.

“Saya lihat Port Dickson sedikit kusam mungkin antaranya kerana kesan pandemik.

"Saya berazam untuk membawa ia kembali on track sebagai bandar pelancongan dan menarik lebih ramai pengunjung di dalam dan luar negara,” katanya.

Sementara itu, Eizlan berkata sejak awal dia tidak meletak sebarang harapan untuk dicalonkan walau pun dilantik sebagai Ketua Penerangan Pejuang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum ini.

Katanya, ia adalah satu tanggungjawab besar yang harus dipikul demi bangsa dan negara.

“Saya harap pembabitan saya di dalam politik memberi manfaat kepada semua, terutama kawasan parlimen Sabak Bernam yang akan saya tandingi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS