Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Walaupun rancak menghiburkan kira-kira 1,000 peminatnya di konsert Cinta Di Sebalik Musim di Kuala Lumpur baru-baru ini, Ramlil Sarip sempat menitip pesan agar mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada 19 Nov ini.

Pun begitu, kata penyanyi terbabit, mereka seharusnya membuat pertimbangan dengan baik terlebih dulu dan tidak mengundi secara semberono.

“Nak undi apa, undilah, tapi jangan keliru,” ucapnya sejurus sebelum menyampaikan lagu Keliru.

Ramli yang menerima jolokan Papa Rock sebelum itu memulakan konsert tepat jam 8.45 malam sambil menjerit: “Kita kasi gegar malam ini.”

Walaupun sudah berusia 70 tahun, Ramli tetap kelihatan bertenaga seperti orang muda dan gagah menakluk pentas sambil menyampaikan lagu-lagu popularnya.

Pilihan pertama Ramli ialah Sentosa Di Kubah yang dipetik dari album Rasa yang diterbitkan pada 2021 sebelum diteruskan dengan Sejuta Wajah.

Semasa menyantuni penonton, Ramli berkata, suasana konsert pada malam itu membuat badannya “menggigil-gigil" kerana terharu melihat sokongan yang diberikan peminat kepada perjuangannya.

“Malam ini awak punya,” katanya yang kemudian menyambung nyanyian dengan lagu Hilang Gelap.

Konsert itu diadakan untuk mempromosi album Rasa iaitu album solo yang dihasilkan sewaktu wabak Covid-19 melanda negara.

Pentingnya cinta dalam hidup

Ramli berkata, sama seperti orang lain, sebenarnya banyak cabaran yang perlu didepani akibat pandemik.

Selepas negara beralih ke fasa endemik, dia merancang untuk meneruskan konsert jelajah di lokasi lain namun terpaksa berdepan PRU ke-15 pula.

Namun, penyanyi itu tidak menjadikan ia sebagai alasan malah berusaha menyusun jadual konsert jelajahnya dengan baik.

Untuk rekod, konsert itu turut menampilkan Lefthanded yang menampilkan dua nama besar dalam industri iaitu vokalisnya, Nash, dan juga pemain gitar, Man Kidal.

Untuk Panah Beracun, Ramli berkongsi keistimewaan lagu itu yang ditulis oleh seorang kurang upaya. Katanya, lagu itu dihasilkan pada 1985.

Semasa menghidangkan lagu seterusnya, Kekasihku, penyanyi itu terus agresif dalam persembahannya malah tidak berehat seketika pun sebelum menyampaikan Irama Kasih.

“Kita mesti cinta, kalau tarak (tak ada) cinta, tarak kehidupan,” katanya.

Sebaik Irama Kasih berakhir, Ramli terus menyanyi lagu Batu dan disambut hangat peminat yang hadir. Lagu itu dihasilkan pada 1983 dari album Batu.

Ramli sempat tersenyum bahagia apabila melihat gelagat penonton yang mengiringinya menyanyikan lagu itu beramai-ramai. Lagu seterusnya ialah Keliru dan Jikalau Berkasih.

Kemudian tibalah giliran Lefthanded yang diundang Ramli untuk naik ke pentas. Petikan gitar solo oleh Man Kidal membuat penonton yang hadir teruja dan mereka mengeluarkan telefon genggam untuk merakamkan detik itu.

Petikan gitar solo itu diteruskan dengan lagu Debunga Wangi.

Lagu menyentuh perasaan

Penonton yang hadir menyanyi bersama-sama Nash dan semua masih gembira dan teruja melihat persembahannya bertenaga dan vokal penyanyi itu yang masih mantap.

Nash turut mengambil peluang itu untuk memberikan penghargaan kepada watak-watak lain yang turut memeriahkan perjalanan seni Ramli seperti penulis lirik S Amin Shahab dan Pyanhabib.

Dia kemudian menyampaikan kagu Keadilan dan disambung dengan Seruan.

Sebelum menyanyikan lagu yang terakhir mereka iaitu Ku Di Halaman Rindu, Nash meminta semua penonton membuka lampu telefon masing-masing dan menyanyikan lagu itu bersamanya.

Kata Nash, lagu itu sangat menyentuh perasaan.

Persembahan diteruskan apabila Ramli kembali ke pentas menyanyikan Cinta Di Sebalik Musim, Adam Dan Hawa dan Ronggeng Rakyat.

“Saya tak tahu kenapa lagu ronggeng rakyat tak dimainkan di radio. Lagu ni tak best ke? Saya rasa best je, lagu ini ada rasa ada jiwa tapi tak apalah.

“Saya bukan nak bertazkirah di sini, saya cuma nak ingatkan semua: saya sedih atas kerosakan yang dibuat oleh tangan-tangan manusia.

"Kalau kita tak jaga, anak anak kita akan merasakan kesusahan,” kata Ramli.

Persembahan malam itu diakhiri dengan lagu Kamelia dan Teratai yang dipersembahkan berturut-turut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS