Diberi peluang berjinak-jinak di kerusi 'tekong' filem, Luqman Hafidz berharap naskhah sulungnya, Astana Mini Series, menjadi batu loncatan untuk dia membuktikan kemampuan diri sebagai pengarah.
Pelakon filem dan teater Ola Bola itu berkata, dia berasa bertuah kerana sering menerima peluang baru dalam pelbagai cabang seni seperti teater, penulisan skrip, pengacaraan, dan terbaru - sebagai pengarah bagi siri mini berkenaan.
Jelas pemilik nama penuh Muhd Luqman Hafidz Mohd Fauzi itu, dia memilih bidang pengarahan kerana gemar berkongsi idea serta naskhah yang sarat mesej buat tontonan umum.
“Saya berharap siri mini ini menjadi batu loncatan untuk saya mengembangkan bakat dalam bidang pengarahan. Saya mahu jadikan ia tiket untuk masa depan.
“Kebetulan pula, saya memang minat dengan penulisan cerita dan skrip, lakon layar dan sinematografi," katanya.
Luqman juga menyatakan dia tidak cerewet untuk memilih sebarang platform, dan akan memberikan yang terbaik jika diberi peluang atau amanah.
Pun begitu, Luqman, 31, mengakui bidang pengarahan bukanlah suatu kerjaya yang 'selesa' untuk dilakukan, apatah lagi dia baru tujuh tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.
“Banyak perkara yang saya tak jangka. Jika diingat kembali, ada sesetengah perkara tak selesa, tapi saya tetap lakukan. Misalnya, berlakon teater - saya tak pernah buat sebelum ini, tapi saya buat.
“Maksud saya, kita harus bijak merebut peluang. Jika ada pihak berikan peluang, kita ambil. Saya juga merujuk beberapa pengarah yang lebih berpengalaman,” jelasnya pada majlis pratonton Astana Mini Series di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Masing-masing ada pendapat
Drama sedang ditayangkan di saluran YouTube Astana Motion Studio Sdn Bhd itu berbicara kisah dunia pergigian.
Selain Luqman, turut berlakon dalam Astana Mini Series ialah Nas-T, Cik Manggis, Dr Syed Ridzwan, Naqiu, Sara Ali, Beto Kusyairi, Mustapha Kamal, Pablo Amirul dan Ezzaty Abdullah.
Sementara itu, mengulas keterbukaannya untuk berkongsi kisah peribadi, Luqman berkata, dia tidak selesa berbuat demikian sejak awal pembabitannya sebagai anak seni.
Pelakon itu membuat kenyataan tersebut susulan timbul spekulasi yang mendakwa dia sudah berpisah dengan isteri, Nurul Atiqah Mad Apandi.
“Apa yang boleh saya kata, saya belum bersedia berkongsi apa-apa berkaitan hal peribadi. Selama ini pun, saya memang tak pernah berkongsi soal peribadi berbanding karier.
“Bagi saya, setiap orang ada pendapat masing-masing bagaimana mereka menangani sesuatu perkara berbangkit. Sebabnya, kita semua tidak terlepas daripada mengalami masalah,” katanya.