Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Tiada apa yang perlu dimalukan sekalipun bekerja menjadi pemandu Grab asalkan boleh menjana pendapatan halal, kata penyanyi dan pelakon Danny X Factor.

Dia juga mengakui pernah tergesa-gesa untuk menghabiskan sesebuah penggambaran kerana ingin segera pulang dan kemudian menyambung tugasnya sebagai pemandu Grab pula.

Menurut Danny, pendapatan alternatif yang diusahakan di samping meneruskan karier sebagai penggiat seni memang mampu menjana pendapatan sekurang-kurang RM500 sehari.

“Jika lelaki itu seorang yang berkeluarga, dia tahu peranannya sebagai ketua keluarga amat besar. Berbanding meroyan di media sosial, jika fikir tak ada job (pekerjaan), baik buat saja.

“Jadi, saya buat semua kerja... nak malu apa? Bagi saya, buatlah apa saja asalkan kerja itu halal," katanya kepada Malaysiakini.

Sebenarnya, tambah Danny, ada banyak pekerjaan yang dilakukannya seperti bergiat di belakang tabir sebagai pembantu produksi. Terbaru dia menjual burger di depan rumah sekiranya tiada urusan lain di luar.

Untuk rekod, Danny pernah mencipta populariti bersama kumpulan X-Factor yang turut dianggotai oleh Fendi, Zack, Shah dan Ivarn.

Kata pemilik nama sebenar Mohd Kardanie Anwa itu, sudah lima tahun dia menjadi pemandu Grab.

Danny, 42, menjelaskan, pendapatan sampingan itu juga membantu dia dan keluarga meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Sejak 2017 saya jadi pemandu Grab. Saya buat penghantaran barang dan penumpang. Ketika PKP lalu, isteri (yang bekerja sebagai pramugari) tidak ‘terbang’.

“Jadi, pendapatan kami pun berkurangan. Pekerjaan sebagai pemandu Grab inilah yang banyak membantu kami sekeluarga.

“Cuma tahun ini, saya berehat kerana sudah kembali sibuk dengan lakonan dan tugas lain,” katanya yang bakal tampil dengan filem terbaru, Janna Endoro, tahun depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS