Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Cliff Umar rebut semua peluang untuk langsai 'hutang' pada anak

Penyanyi Cliff Umar mendakwa, pembabitannya dalam konsert Kolaboraci - Three To Rock adalah salah satu usaha dia menyelesaikan dakwaan mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anaknya.

Katanya, dia akan cuba merebut apa saja peluang yang ada untuk menjana pendapatan.

“Saya akan cuba apa saja dan di mana saja ada peluang,” ujarnya.

Namun, Cliff, 39, mengakui ia bukanlah suatu tugas yang mudah untuknya.

Kata Juara Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) itu, hal tersebut perlu diakui walaupun dia sudah lama cuba membina nama di persada tanah air.

“Tak senang main muzik di sini. Ada yang tahu saya sekejap naik turun, keluar televisyen, padahal saya berada dalam industri dah lebih 20 tahun.

“Orang ramai tak kenal saya kerana saya bukannya kejar populariti sebab saya hanya utamakan hasil seni,” jelasnya pada sidang media pengumuman konsert Kolaboraci - Three To Rock yang diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur kelmarin.

Akui turut bersalah

Konsert membabitkan tiga artis Malaysia, Indonesia dan Singapura itu dijadual dijadual berlangsung di SMESCO Convention Hall, Jakarta pada 25 Nov ini.

Sebelum ini, tular video di TikTok memaparkan seorang wanita mendakwa dirinya sebagai bekas isteri Cliff.

Wanita itu mendedahkan, penyanyi terbabit mengabaikan nafkah untuk tiga anak mereka sejak 10 tahun lalu.

Wanita berkenaan juga merayu kepada penyanyi berkenaan supaya bertanggungjawab terutama hal-hal berkaitan perbelanjaan anak-anak.

Mengulas perkara itu, pemilik nama sebenar Umar Joseph Abdullah berkata, sebagai seorang ibu, wanita berkenaan memang berhak menuntut sesuatu memandangkan dia adalah bekas suami kepada anak-anaknya.

Malah akui penyanyi berkenaan, sebagai manusia biasa, dia juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

“Sebagai ibu, mesti dia mahu kejar sesuatu untuk anak-anaknya. Perkara itu tidak salah. Saya juga ada lakukan kesilapan,” katanya.

Bagaimanapun, Cliff enggan terus memperkatakan isu berkenaan atas alasan enggan membuka aib mana-mana pihak selain tidak mahu bertindak dengan kemungkinan akan menyesal kemudian hari.

“Sebelum keluarkan kenyataan tentang hal peribadi, saya harus letakkan diri sendiri dalam situasi pihak di sebelah sana.

“Tidakkah asyik memberi kenyataan balas akan membuka aib kami atau dia? Perlu atau tidak saya lakukan perkara sedemikian?” soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS