Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Cliff Umar dah malas layan dunia hiburan Malaysia

Kelihatan kecewa dengan apa yang ada, penyanyi Cliff Umar berkata, dia enggan mengambil tahu langsung mengenai dunia seni hiburan di negara ini selepas menjuarai Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7).

“Saya, Cliff Umar, don’t give a damn about Malaysian industry,” tegasnya ketika ditanya bagaimana perjalanan kariernya selepas berjaya memikat para juri dalam program realiti berkenaan.

Vokalis kumpulan Projek Pistol itu memberitahu, dia lebih selesa untuk mencari makan di luar negara kerana yakin karya seninya akan lebih dihargai berbanding di Malaysia.

Pada masa sama Cliff Umar berkata dia tidak peduli jika dipulaukan, bahkan itu yang mendorong untuknya aktif di luar.

“Gilalah kalau tak rebut peluang buat konsert di Indonesia. Semua pemuzik memang teringin bermain di Jakarta.

“Di sana orang tak nak ambil tahu isu peribadi, saya juga tak asyik kena maki seperti di sini, ” ujarnya.

Tambahnya, disebabkan alasan itu jugalah, dia rela duduk di belakang tabir dan tidak terus-menerus mengejar populariti mahupun mengintai peluang yang sepatutnya boleh diraih selepas menjuarai GV7 pada 2020.

Kata pemilik nama Islam sebagai Umar Joseph Abdullah itu, dia langsung tidak menyesal dengan pilihan tersebut sekalipun namanya dilupakan peminat dan hilang populariti.

Nak mula dari bawah

Menurut Cliff, 39, apa yang lebih penting ialah dia dapat menumpukan bahan bersesuaian untuk diterbitkan jika berjaya memperoleh sumber dana suatu hari nanti.

“Lepas GV7, saya akui tiada sebarang sumbangan atau single pada industri selama dua tahun, sebab tak mahu terikat dengan mana-mana syarikat.

“Dua tahun ikat kontrak yang tiada faedah untuk saya, jadi lebih baik saya tinggalkan itu semua dan kumpulkan material, nanti bila dah ada dana yang bagus, saya boleh terbitkan.

“Orang tak pernah nampak saya di Anugerah Juara Lagu atau Anugerah Industri Muzik, tapi saya ada hantar satu atau dua lagu untuk pencalonan.

"Malah ramai tak tahu saya pernah terbitkan lagu untuk orang lama seperti Ella dan Akim,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman Konsert Kolaboraci - Three To Rock yang diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur kelmarin.

Konsert menggabungkan rockers dari Malaysia, Indonesia dan Singapura itu dijadual berlangsung di SMESCO Convention Hall, Jakarta pada 25 Nov ini.

Selain Cliff, konsert itu bakal menampilkan rocker tanah air seperti gitaris legenda, Man Kidal dan Lola (dram) manakala dari Singapura, vokalis dan bassis Lovehunters, iaitu Yazid.

Band popular Indonesia seperti BIP, Pindad Rock Star, Erik & The Gotune dan John Barhaend turut bakal menjayakan konsert dianjurkan Aci Gold itu.

Mengulas konsert berkenaan, Cliff Umar berkata, ia adalah konsert pertama disertainya selepas Malaysia memasuki fasa endemik.

“Saya ingin masuk ke Jakarta sebagai penyanyi biasa bukan bintang rock. Saya ingin mula dari bawah, itu cara saya nak memenangi jiwa peminat.

“Selain itu, biasalah, pemuzik kena sedia belajar, banyak perkara saya nak download ni,” tuturnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS