Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Walau muflis, Man Kidal berazam enggan kekal status asnaf

Pemain gitar terkenal, Man Kidal, berkata dia rela diisytihar muflis dan menganggap apa yang menimpa dirinya baru-baru ini adalah takdir yang ditetapkan.

Pun begitu Man Kidal juga enggan dianggap sebagai asnaf yang perlu diberikan bantuan seperti kebiasaannya.

Menurutnya, nasibnya ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila minggu lalu mahkamah mengisytiharkan dia muflis gara-gara gagal melunaskan pembiayaan sebuah kereta jenama mewah selama enam tahun.

“Saya diisytihar bankrap minggu lalu kerana hutang kereta BMW yang berjumlah kira-kira RM340,000... nama saya digunakan untuk membeli kereta itu.

“Tapi tak apalah, itu saja yang boleh saya kongsikan. Saya anggap dah bukan rezeki saya,” jelasnya.

Anggota Lefthanded yang terkenal pada era 1980-an itu berkata, memang pada awalnya dia berasa agak panik kerana kejadian tersebut berlaku menjelang konsert Kolaboraci Three To Rock di Jakarta, Indonesia pada 25 Nov ini.

Menurut pemilik nama asal Abdul Rahman Mahmood itu, sekiranya mahu keluar negara, dia perlu menjelaskan sekurang-kurangnya separuh daripada bayaran tersebut.

“Mengenai bayaran, saya dah berbincang mengenainya. Antara syarat dikenakan ialah saya perlu membayar jumlah tertentu setiap bulan hingga 50 peratus.

“Itu syarat dikenakan kerajaan kalau seseorang seperti saya ingin keluar negara. Apa boleh saya buat? Kenalah akur, kalau cakap pada peguam pun tak guna,” luahnya ketika ditemui pada sidang media Konsert Kolaboraci Three To Rock di Kuala Lumpur semalam.

Rasa tak patut ambil

Konsert itu menggabungkan rockers dari Indonesia, Malaysia dan Singapura yang akan berkongsi pentas di SMESCO Convention Hall.

Selain Man Kidal, pemuzik lain akan turut menjayakan konsert anjuran Aci Gold itu ialah Lola (dram - XPDC) dan Cliff Umar (vokalis Project Pistol).

Terdahulu, Man Kidal diberikan status asnaf sementara oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) akibat hilang punca pencarian ketika wabak Covid-19. Kehidupannya semakin sukar selepas disahkan positif wabak berkenaan.

Sebelum itu dia menanggung kerugian sebanyak RM400,000 selepas penganjuran konsert berskala mega, Ultimate Experience Projek Gerakkan Ilmu Laksanakan Agendamu (G.I.L.A) terpaksa ditangguhkan ekoran perintah kawalan pergerakan.

Mengulas mengenai status asnaf, Man Kidal berkata, dia merancang untuk melepaskan status tersebut tahun depan, dan ia ada kaitan dengan bisikan hatinya.

“Saya fikir sampai tahun ini sajalah, tahun depan tidak lagi. Malulah saya nak ambil.

"Saya sudah boleh bekerja, jadi tak sepatutnya saya ambil bantuan zakat lagi,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas pembabitannya dalam konsert Jelajah Rasa Ramli Sarip di Zepp KL, pada 29 Oktober ini, Man Kidal berkata, Lefthanded akan membuat penampilan khas.

Pun begitu, menurutnya, band berkenaan sudah 'membeli' konsert tersebut daripada Ramli apabila mereka bakal mempersembahkan empat lagu, namun penyanyi terbabit kekal sebagai artis utama.

“Pembabitan Lefthanded wajar untuk profil kami selain itu sebagai tanda penghormatan band ini kepada jasa Ramli,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS