Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Farid Kamil ajak pengundi sekat 'penyamun' terus berkuasa
Diterbitkan:  Oct 26, 2022 2:39 PM
Dikemaskini: 6:40 AM

Menjelang PRU15, pengarah dan pelakon Farid Kamil secara terbuka menyeru pengundi menolak 'penyamun'.

Katanya, rakyat seharusnya jangan berterusan membiarkan golongan terbabit terus berkuasa demi menyelamatkan negara.

“Bangun, dan tolak penyamoon (penyamun).

“Sudah berpuluh bilion duit kita semua disapu mereka. Cukup, jangan biarkan mereka berkuasa lagi PRU15, tolak penyamun.

"Selamatkan duit kita, selamatkan negara,” tulisnya di media sosial hari ini.

Farid, 41, turut mengiringi hantaran berkenaan dengan memuat naik lakaran kartunis Zunar yang memaparkan seorang individu ditulis "rakyat" sedang memikul empat watak karikatur di atasnya, dengan salah satunya berupa kura-kura berkepala manusia.

Dipercayai, kartun Zunar itu menyindir kepimpinan negara yang terpalit kes rasuah dan penyelewengan.

Untuk rekod, bekas perdana menteri Najib Razak kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan dan hukuman ke atasnya dalam kes membabitkan dana SRC International.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Rosmah Mansor bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion. Dia kemudian dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM970 juta.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi yang juga bekas timbalan menteri dilepas dan dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Terdahulu, Farid juga secara terbuka menyatakan sokongannya terhadap Pengerusi PH Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri ke-10.

Pelakon Anak Halal itu juga berkongsi lima sebab mengapa presiden PKR berkenaan wajar mendapat sokongan ramai melalui klip video untuk PRU15 kali ini.

Video itu antaranya menyenaraikan pencapaian Anwar sepanjang kariernya memegang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

Antaranya, Farid berkata Anwar menerima Anugerah Menteri Kewangan Terbaik Dunia pada 1993 dan Menteri Kewangan Terbaik 1996 selain dilihat telus sebagai pemimpin anti rasuah.

“Saya sokong Anwar jadi PM, ini kalilah,” katanya.

Anwar sebelum itu berkongsi imej kunjungan Farid ke pejabatnya yang menunjukkan kedua-dua mereka bersalaman sambil tersenyum.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS