Lokasi Zepp Kuala Lumpur menjadi gelanggang buat Wings apabila kumpulan rock legenda itu ‘mengganas’ di hadapan kira-kira 2,500 peminat yang menyaksikan persembahan mereka pada Konsert Naga Kramat malam kelmarin.
Peminat yang mula berkumpul di Zepp seawal jam 5 petang dengan berpakaian rock - berseluar jeans koyak, berjaket dan berkasut kulit - kelihatan tidak sabar-saabr menunggu persembahan kumpulan rock kesayangan mereka.
Kemunculan anggota Wings iaitu Awie selaku vokalis, Eddie (basis), Edrie dan Syam (gitaris) serta Black (dram) di pentas tepat jam 9.15 malam disambut peminat yang mengangkat tangan sambil menunjukkan simbol sayap, iaitu simbolik nama kumpulan itu.
Meskipun peminat setia Wings rata-ratanya sudah menjangkau usia 40 tahun, namun mereka tetap bertenaga menggoyangkan kepala dan badan serta turut sama menyanyikan bait-bait lagu kumpulan itu tanpa mempedulikan ruang yang sesak.
Konsert itu menjadi persembahan terakhir Wings untuk tahun ini sebelum mereka berangkat menunaikan ibadah umrah.
Kata Awie, Wings merancang untuk menyambung semula konsert jelajah mereka pada tahun depan.
“Ini adalah antara konsert terakhir kami untuk tahun ini sebelum kami berangkat ke Mekah bagi menunaikan umrah dan doakanlah segalanya dipermudahkan untuk kami semua,” katanya ketika permulaan konsert.
Sebanyak 24 lagu dipersembahkan Wings pada malam itu buat peminat setia mereka.
Mereka membuka tirai persembahan dengan lagu Entah Kiri Entah Kanan, Jumpa Hilang dan Lubuk Pusing dari album Naga Kramat.
Naga Kramat adalah album kesepuluh mereka yang diterbit dan dihasilkan pada tahun 2002, serta merupakan album pertama selepas Awie kembali menyertai Wings.
Awie kemudian meneruskan nyanyian dengan lagu hits kumpulan itu seperti Bernafas Dalam Lumpur, Opera Hidup, Hukum Karma, Ingatkan Dia dan Jerangkung Dalam Almari.
Pada pertengahan konsert, Wings meneruskan persembahan dengan lagu dari kumpulan Loudness bertajuk Ares Lament dan dua lagu dari kumpulan Scorpions iaitu lagu He’s A Women She’s A Man dan Is There Anybody There.
Awie kemudian mengucapkan penghargaan kepada mereka yang terlibat menjayakan konsert itu dan kepada peminat Wings yang hadir.
“Terima kasih kepada semua yang hadir kerana masih lagi meminati Wings dan mempercayai Wings. Kerana anda semua kami di sini dan kerana ahli kumpulan Wings, saya masih di sini,” katanya.
Ketika peminat sedang asyik melayan lagu-lagu Wings, Awie berjenaka dengan menyatakan konsert itu sudah berakhir dan meminta mereka pulang.
Tetapi gimik itu ternyata tidak menjadi dan peminat terus melaungkan “we want more” berulang kali.
Wings meneruskan persembahan dengan menyampaikan tiga lagi lagu hits mereka, iaitu Harapan, Taman Rashidah Utama dan Bujang Senang.
Pada penghujung konsert, Awie meminta mereka yang hadir membuat permintaan tiga lagu terakhir sebelum Wings melabuhkan tirai.
Namun, lagu yang diminta peminat terlalu banyak. Tidak mahu menghampakan mereka, Awie menunaikan permintaan dengan mendendangkan lagu Lipas Kudung, Peronda Jaket Biru, Sejati, Gemuruh dan Dalam Kehadiran Sofiah.
Konsert itu diakhiri dengan sorakan dan tepukan gemuruh daripada mereka yang hadir.
Rata- rata mereka yang datang mempemarkan riak wajah gembira dan berpuas hati menyaksikan konsert berkenaan.
Konsert itu turut dihadiri artis-artis tempatan seperti Kid dan Din Search serta Cat Farish.