Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ras Adiba puji usaha Karyawan rai bakat pengkarya OKU

Senator Ras Adiba Radzi berharap lebih banyak pihak yang bukan daripada NGO berkaitan orang kelainan upaya (OKU) tampil meraikan serta menyokong bakat dan kebolehan seni yang dimiliki golongan terbabit.

Menurut Presiden Persatuan OKU Sentral itu, inisiatif Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menggerakkan Festival Seni Insan Istimewa diyakini membawa manfaat untuk pengkarya OKU.

“Saya bersyukur kerana Karyawan, satu-satunya persatuan bukan berkaitan OKU, terbuka untuk menggerakkan program sebegini. Bagi saya, ia adalah suatu lembaran baru.

“Kebiasaannya, hanya NGO berkaitan OKU terbabit dalam program seperti ini. Justeru saya ingin melihat lebih banyak syarikat korporat lain tampil memberikan khidmat mereka untuk program seperti ini pada masa depan.

“Jangan berikan layanan tertentu kepada OKU kerana kami istimewa. Kami memang kurang upaya, tapi ada kelebihan yang luar biasa,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Ras Adiba, pihaknya berterima kasih kerana Karyawan menunjukkan minat untuk membantu golongan itu melalui program berkenaan.

“Sebenarnya program dianjurkan Karyawan adalah kesinambungan bagi program-program yang pernah dianjurkan oleh OKU Sentral selama beberapa tahun ini,” jelasnya pada sidang media pelancaran Festival Seni Insan Istimewa di KL Gateway, Kuala Lumpur kelmarin.

Disertai ramai artis

Program itu dijadual berlangsung antara jam 10 pagi hingga 10 malam pada 30 Oktober ini di Aras 2, Gerbang Kerinchi Lestari (Bangsar South), Kuala Lumpur.

Festival itu turut mendapat kerjasama daripada beberapa agensi antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, Yayasan Wilayah Persekutuan dan pihak swasta.

Sementara itu, Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, berkata festival berkenaan memfokuskan acara seni budaya seperti persembahan dan pertandingan serta ruang pameran hasil karya seni yang dihasilkan golongan itu.

Kata komposer lagu Namun Ku Punya Hati - lagu ikonik bagi golongan istimewa - itu, inisiatif Festival Seni Insan Istimewa itu tercetus apabila beberapa ahli Biro OKU Karyawan yang dianggotai lebih 100 individu menyarankan agar diadakan satu acara seni khusus terhadap mereka.

“Kebanyakan OKU ini menjadikan karier selaku buskers bagi menampung pendapatan seharian mereka,” ujarnya.

Menurut Freddie, terdapat pelbagai aktiviti menarik disediakan dan hadiah menanti peserta.

“Antara aktiviti menarik seperti pertandingan Idola Istimewa, pertandingan kugiran istimewa, pertandingan memasak, melukis dan sukan ringan yang diadakan secara percuma untuk semua golongan kelainan upaya dari semua kategori iaitu kelainan upaya penglihatan, pendengaran, pertuturan, anggota dan autisme serta puluhan reruai pameran berkaitan dengan komuniti berkenaan.

“Pada sebelah malam pula akan diadakan konsert istimewa yang bakal menampilkan bakat-bakat seni suara istimewa seperti Caliph Buskers dan Bad Indigo.

“Selain itu, artis lain turut menjayakan festival berkenaan seperti Zaiton Sameon, Azmir Arif dan Moq, Yusni Hamid, Radhi Khalid dan Rozita Rohaizad,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS