Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Naqiu kecewa, tercari-cari formula hit sampai dituduh lupa diri

Juara Gegar Vaganza keenam (GV6), Naqiu, mengakui dia mengalami rasa kecewa kerana masih belum menemui 'formula' tepat untuk membawa dirinya ke tempat yang diidamkan.

Kata vokalis Boboy itu, penghasilan karya terbaru sejak membawa jenama Naqiu tidak mendapat penerimaan yang memuaskan daripada peminat seni, sekali gus membuat namanya kekal kurang menyerlah.

Justeru, bagi pemilik nama penuh Wan Naqiuddin Mohd Najib itu, dia berharap peminat menukar persepsi mereka yang menganggap hanya penyanyi yang mampu melontarkan suara dalam nada tinggi boleh dianggap sebagai “power.”

“Jujur, saya kecewa dengan diri sendiri. Saya juga tak puas hati dengan lagu baru yang saya hasilkan. Tak tahu sebab apa. Adakah saya salah mempromosi diri, atau salah konsep?

“Hingga kini, saya sebenarnya masih tercari-cari formula untuk hasilkan lagu hit selepas habis GV6 dan ketengahkan nama Naqiu.

“Orang selalu anggap saya penyanyi bernada tinggi, jadi saya perlu ubah persepsi itu. Saya rasa masyarakat tersalah anggap bahawa nyanyian menjerit-jerit itu bermakna penyanyi terbabit power,” ujarnya.

Naqiu, 35, juga meluahkan perasaan terkilan apabila hasil interaksinya dengan peminat juga tidak membuahkan hasil apabila keinginan yang mereka luahkan mengenai sesebuah karya hanya sempat bertahan dua minggu.

Jelasnya, ia berpunca selepas dia dituduh lupa diri kerana tidak hadir dengan sebarang lagu baru bersama Boboy.

“Ada peminat tuduh saya lupa diri, lupa Boboy selepas keluar GV6. Tapi bila saya keluar lagu baru dengan Boboy, Tetap Bersama, baru-baru ini, hype karya itu hanya bertahan dua minggu saja,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton Astana Mini Series di Kuala Lumpur kelmarin.

Meskipun kariernya diuji, penyanyi itu berkata, dia tidak berputus asa kerana masih berpegang teguh pada saranan seorang daripada juri tetap GV6, iaitu komposer Ramli MS.

Biar jadi kejutan

Atas alasan itu, menurut Naqiu, dia ingin membawa perubahan besar terutama dari segi genre lagu yang akan dipersembahkannya kepada peminat.

“Saya masih berpegang pada nasihat Ramli MS agar buat lagu sendiri dan jangan harapkan orang lain, cuma masalahnya saya belum jumpa formula tersebut.

“Apa saja hit, tak kira sama ada penyanyi baru atau lama, saya jadikan rujukan. Kenapa mereka boleh hit sedangkan saya tidak? Tak semesti orang lama banyak pengalaman dah cukup.

“Saya juga ingin ubah persepsi peminat dan nak menyanyi dengan lebih rileks selain perkenalkan genre baru,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Naqiu, dia hanya akan berkongsi perancangannya membuat pembaharuan dalam industri pada waktu yang dirasakan bersesuaian.

“Biarlah jadi kejutan, saya harap genre itu bawa tuah untuk saya tahun depan,” ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS