Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Syafiq Kyle tak anggap kena 'scam' cuma rasa tak puas

Agak mustahil sesebuah filem yang baik boleh dihasilkan dengan perancangan yang lemah serta pembikinan terburu-buru.

Pengalaman itu dirasai sendiri oleh pelakon Syafiq Kyle apabila dia perlu mendalami ilmu seni persilatan tua Melayu iaitu permainan 12 dalam dalam masa yang sangat terbatas.

“Saya jujur sajalah. Siku 12 satu ‘langkah derhaka’ yang juga digunakan sebagai senaman. Ia juga satu seni pertahanan diri seperti Muay Thai, silat gayung dan lain-lain.

“Apabila nak lakonkan sesuatu seni pertahanan diri, perlu ada guru. Sebaik tiba di lokasi penggambaran, saya didatangi guru dan terus diajar buka langkah selama semalaman.

“Esoknya terus saya kena jalani penggambaran. Bayangan kami berlatih selama satu malam itu, jadi saya tak puas hati dari segi lakonan,” kongsinya.

Bukan setakat itu, tawaran yang bertukar status juga membuatkan Syafiq sukar mengubah fikiran yang sudah ditetapkan.

Bukan anggap kecewa

Namun katanya, ia bukan disebabkan faktor bayaran, tetapi kerana dia seorang pelakon yang menitikberatkan mutu dan gerak sesuatu kerja.

“Mungkin saya langsung tak jangka supertele ini akan ke layar lebar.

“Pihak produksi ada maklumkan pasal bayaran dan mereka sangat jujur mengenainya. Cuma saya tak pentingkan benda itu (bayaran).

“Jika filem, filemlah; kalau supertele, supertele-lah,” katanya ketika ditemui selepas majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Siku 12: Langkah Derhaka di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Filem arahan Azhari Zain itu berkisahkan Atid - lakonan Syafiq - dan Awut (Zahiril Adzim) yang meminati seni mempertahankan diri Muay Thai.

Atid dapat melihat ketangkasan Ayah Man menumbangkan musuh namun bapanya itu merahsiakan ilmu persilatan yang digunakan.

Awut pula tidak menjangka Atid sanggup mengkhianatinya apabila mendengar Ayah Man sanggup menurunkan ilmu permainan 12 itu tetapi bukan kepadanya.

Filem itu dijadual menjengah 66 pawagam seluruh tanah air bermula 27 Okt ini. Naskhah itu turut ditayangkan serentak di tubuh pawagam Singapura manakala satu di Brunei.

Kata pemilik nama penuh Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak itu dia akan memastikan dirinya lebih berhati-hati sebelum menerima sesuatu tawaran selepas ini.

“Bukan nak kata kecewa, tapi saya anggap ini satu pengajaran buat saya. Pertama kali saya berdepan situasi sebegini.

“Sebaik-baiknya, kena selidik sesuatu projek sebelum katakan setuju untuk berlakon,” katanya.

Namun, Syafiq, 30, berkata dia sedikit pun tidak menyalahkan pihak lain, sebaliknya menganggap apa yang berlaku itu disebabkan kekhilafan sendiri.

“Saya tak anggap diri kena scam (tipu). Cuma saya yang kurang bijak dalam buat keputusan kerana pengalaman saya kurang dalam hal-hal begini.

“Jadi saya kena pandai dan banyak bertanya kepada pelakon lebih berpengalaman.

“Pelakon lama pun selalu beritahu perkara macam ini. Jadi saya anggap ini satu pengalaman yang banyak mengajar mematangkan diri,” ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS