Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Usah semberono arah pelakon baru buat aksi ngeri, kata Nas-T

Pelakon Nas-T menegaskan sangat tidak wajar untuk mana-mana produksi mengarahkan seseorang melakonkan aksi yang keterlaluan khususnya jika mereka tahu individu terbabit tiada pengalaman untuk berbuat demikian.

Teraju utama filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa itu berkata, syarikat produksi perlu menjauhkan bahaya kepada pelakon untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Jika silap percaturan, boleh mengakibatkan kecederaan atau lebih teruk boleh mengakibatkan kematian.

“Produksi harus sediakan pelakon lagak ngeri untuk menjayakan babak berkenaan. Ini wajar apabila pelakon terbabit tiada pengalaman malah tidak pernah menjalani latihan untuk melakonkan sebarang babak lasak,” jelasnya.

Tambah Nas-T, produksi juga harus menganalisis risiko yang ada sebelum memberikan sebarang arahan kepada pelakon.

Menggunakan diri sendiri sebagai contoh, pemilik nama sebenar Nas Muammar Zar Nasruddin itu berkata, dia pernah mengalami kecederaan mengerikan gara-gara rela melakonkan babak aksi walaupun tidak diminta oleh pengarah.

“Tulang saya pernah terkehel. Terbaru, dalam Air Force The Movie, tangan 'berlubang' disebabkan bergelut dalam gelap.

“Tapi, tak apalah sebab saya sendiri ambil risiko tawarkan diri untuk melakonkan babak aksi sebab pernah jalani latihan sebelum ini dan berpengalaman.

“Cuba bayangkan jika seseorang pelakon tak ada pengalaman. Jadi, kena analisis risiko, misalnya nak jatuh ada diletakkan tilam atau tak,” ujarnya.

Boleh faham situasi pelakon baru

Nas- T, 39, berkata demikian ketika ditemui pada pratonton filem pendek terbaru lakonannya iaitu Astana The Series, di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Naskhah arahan Luqman Hafidz itu bertujuan menyuntik kesedaran umum terhadap kepentingan penjagaan gigi yang betul dalam masyarakat.

Selain Nas- T, turut menjayakan Astana The Series ialah Luqman sendiri, Cik Manggis, Dr Syed Ridzwan, Naqiu, Sara Ali, Beto Kusyairy, Mustapha Kamal, Pablo Amirul dan Ezzaty Abdullah.

Karya itu bakal ditayangkan di saluran YouTube Astana Motion Studio bermula 1 Nov ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan, pelakon Wafariena Roslan mengalami kecederaan pada perut dan tisu punggungnya pula koyak selain berlaku pendarahan semasa terbabait dalam penggambaran telemovie Mata Tak Berhijab pada 8 Okt lalu.

Ibu Wafariena, Suzana Hamad, mendakwa anaknya itu diminta melakonkan aksi tersebut hingga 12 kali walaupun selepas dimaklumkan mengalami kecederaan.

Susulan itu, Suzana memberi tempoh seminggu untuk pihak produksi tampil menyelesaikan isu terbabit manakala penerbit eksekutif telemovie itu, Izzat Aiman, berjanji akan melakukan siasatan penuh berhubung insiden berkenaan.

Nas-T berkata dia tidak meletakkan kepercayaan sembarangan kepada mana-mana sutradara untuk mengarahkan dia melakonkan babak aksi lasak.

Menurut pelakon The Original Gangster itu, dia terlebih dulu mengadakan perbincangan dan perlu mengetahui mutu kerja pengarah berkenaan.

“Kita sedia maklum perkara itu (kecederaan) terjadi pada pelakon terbabit. Saya faham sekiranya sebagai pelakon baru takut jika dilabel mengada-ngada tak mahu buat itu ini.

“Saya dulu pun akan lakukan sebab nak impress (tarik perhatian) pengarah, tapi sebelum berbuat begitu wajarlah kita mengambil kira segala risiko.

"Kalau tidak, memang ibarat menyerah tengkuk sendiri untuk cedera,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS