Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi berkata, pihaknya akan membantu untuk mendapat pembelaan sewajarnya buat pelakon Wafariena Roslan yang mengalami kecederaan susulan diarah melakonkan babak aksi.

Menurutnya, insiden sedemikian di tempat kerja tidak sewajarnya berlaku terutama membabitkan babak yang bukan sepatutnya dilakukan oleh seorang pelakon.

“Produksi harus bertanggungjawab.

“Seniman akan bawa ke peringkat yang lebih tinggi hingga pelakon yang cedera itu mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, portal ini melaporkan Wafariena mengalami kecederaan pada tisu punggung, koyak teruk pada bahagian perut serta berlaku pendarahan selepas diminta melakukan babak aksi yang sepatutnya dibuat oleh pelakon lagak ngeri.

Insiden berlaku pada 8 Oktober di Lenggong Perak itu mengakitkan Wafariena terpaksa menerima rawatan selama lima hari di Hospital Pakar KPJ, Rawang.

Wafariena Roslan

Sementara itu, ibu pelakon berkenaan, iaitu Suzana Hamad berkata, dia memberikan tempoh sekurang-kurang seminggu untuk pihak penerbit dan pengarah menyelesaikan masalah tersebut.

Katanya, sekiranya gagal, pihaknya tidak ragu-ragu untuk mengambil tindakan susulan membabitkan undang-undang pula selepas ini.

“Saya yang hubungi mereka. Saya sedia maklum sekiranya perkara begini berlaku, pasti pihak di sana akan terus membisu.

“Seandainya tidak ada apa-apa jawapan, saya akan bertindak ikut undang-undang,” jelasnya.

Mengulas lanjut, katanya, setakat ini, pihak penerbit memberikan kerjasama serta berjanji untuk tampil dengan jalan penyelesaian yang dirasakan terbaik.

“Sebagai ibu, saya mengharapkan satu keputusan terbaik untuk kebaikan bersama,” ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS