Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penonton konsert Gigi Nakal Di KL boleh hadir dengan jari bertanda

Penganjur persembahan Gigi Nakal Di KL berharap jika ditakdirkan tarikh pilihan raya umum (PRU) berlangsung pada hari konsert tersebut diadakan - iaitu 5 Nov ini - penonton tetap tidak melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab masing-masing seperti sepatutnya.

Justeru, Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia, Haniff Hamzah, menyarankan peminat agar membuat perancangan sebaik-baiknya terutama dari segi perjalanan sekiranya jauh untuk mengundi.

“Kami memahami rakyat Malaysia sedang menantikan tarikh PRU ke-15 terutama apabila melibatkan seseorang yang perlu pulang jauh untuk membuang undi di tempat nama mereka didaftarkan.

“Sekiranya seseorang perlu pulang ke Pulau Pinang misalnya, jadi agak tergesa-gesa untuk dia pulang semula ke Kuala Lumpur. Ini bergantung di atas perancangan perjalanan peribadi masing-masing.

“Tapi, kami tak mahu orang tidak mengundi semata-mata mahu menonton Gigi. Konsert tetap diteruskan, diharap peminat yang berdekatan masih boleh pulang untuk ke konsert pada waktu malam,” katanya.

Haniff Hamzah

Menurut Haniff, sekiranya PRU ke-15 berlangsung pada pada hari Gigi mengadakan konsert, mungkin sambutan menjadi lebih berlainan.

“Mungkin kalau ia berlaku, ini akan menjadi kelainan bila kita dapat lihat penonton yang datang, semuanya dengan jari bertanda,” ujarnya pada sidang media dalam talian untuk mengumumkan konsert Gigi Nakal Di KL pagi tadi.

Konsert yang turut mendapat kerjasama Tanjak Adventure & Tour itu dan akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.

Gigi yang popular melalui lagu Terbang, Nakal dan Takdir itu dianggotai oleh Armand Maulana selaku vokalis, Dewa Budjana (gitar), Thomas Ramdhan (bass) dan Gusti Hendy (dram).

Kali terakhir kumpulan yang ditubuhkan pada 1994 itu beraksi di negara ini ialah 14 tahun lalu. Ketika itu, mereka berkongsi pentas bersama Incubus dan John Legend.

Mengulas lanjut, Haniff berkata, setakat ini belum ada perancangan untuk memulangkan semula wang pembelian tiket sekiranya tarikh konsert itu bertindih dengan PRU ke-15.

Menurutnya, pembeli tiket yang mengundi di luar Kuala Lumpur masih boleh kembali menyaksikan konsert tersebut pada malamnya walaupun jika mengundi ditakdirkan berlangsung pada hari sama.

“Setakat ini, tak ada keperluan untuk pemulangan wang pembelian tiket walaupun kepada mereka yang perlu mengundi di luar KL.

“Rasanya, kalau masih mengundi di Semenanjung Malaysia, mungkin masih sempat ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan konsert. Kalau di Sabah dan Sarawak, mungkin agak mustahil.

“Ada kenalan saya beritahu, dia akan pulang mengundi di Johor Bahru dan sanggup pulang ke Kuala Lumpur untuk menonton konsert ini,” katanya.

Namun, jelas Haniff, dia masih terbuka untuk berbincang dan pembeli tiket dialu-alukan untuk menghantar e-mel sekiranya perlu mengemukakan pertanyaan berhubung soal itu.

“Sekiranya ada sesiapa yang dah beli tiket dan ada kerisauan, boleh emel kami dan kita bincangkan apa yang boleh dilakukan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS