Pencetus Ummah (PU) Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki.
Penceramah selebriti itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas terhadap pertuduhan yang didakwa berlaku pada Feb dan Julai lalu.
PU Azman didakwa di hadapau hakim Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, peserta program realiti TV itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja lelaki berusia 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.
Kesalahan tersebut dilakukan antara jam 3 pagi hingga 5 pagi di ruang tamu dan tandas di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan, Nilai. Kejadian itu berlaku pada 6 Julai lalu.
PU Azman juga berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki lain yang berusia 16 tahun 10 bulan.
Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah bilik di rumah yang sama lebih kurang jam 8.30 malam hingga 12 tengah malam pada 5 Feb lalu, dan di ruang tamu rumah sama antara jam 3 hingga 6 pagi sehari kemudian.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Terdahulu, dalam prosiding itu timbalan pendakwa raya, Husni Fairos Ramly, memohon mahkamah menetapkan ikat jamin yang tinggi terhadap PU Azman iaitu RM15,000 bagi setiap pertuduhan kerana ia melibatkan akta berkaitan kesalahan ke atas kanak-kanak.
Bagaimanapun, peguam bela Mohamad Zahid Ahmad memohon jaminan yang rendah atas alasan pendapatan tertuduh terjejas sejak direman bulan lalu dan memerlukan bantuan keluarga untuk menjaminnya.
“Dia juga hadir hari ini dan menunjukkan kerjasama yang sangat baik.
“Tertuduh berusia 41 tahun adalah seorang bujang dan turut menanggung keluarga di Rantau, Seremban,” katanya dipetik Kosmo.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM40,000 bagi kesemua pertuduhan serta dia dilarang menghampiri mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Selain itu, mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu PU Azman perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada Sabtu pertama setiap bulan, selain pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
Tarikh sebutan semula kes itu ditetapkan pada 8 Dis depan.
Sementara itu, PU Azman yang ditemui media selepas membayar duit jaminan pada jam 2.40 petang tadi mengucapkan terima kasih. Dia juga menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakannya.
“Terima kasih kerana sudi menunggu dan Cik Man menghargai doa daripada semua pihak. Alhamdulillah hari ini proses pertuduhan diserahkan kepada peguam,” katanya.