Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ahmad Idham dilantik Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan
Diterbitkan:  Oct 10, 2022 9:00 AM
Dikemaskini: 1:34 AM

Bekas ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri diumum sebagai Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan malam tadi.

Kata Ahmad Idham, lantikan itu diumum oleh Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Zamani Ibrahim sewaktu mesyuarat gerakan berkenaan yang diadakan di Seremban, semalam.

“Saya terharu apabila dimaklumkan gerak kerja Hab Pendidikan Khas Ahmad Idham yang telah saya asaskan dan gerakkan di Port Dickson melalui Pertubuhan Briged Prihatin telah memberi impak di mata masyarakat.

“Selain itu, ia juga menjadi antara faktor yang dinilai kepimpinan tertinggi GTA di Negeri Sembilan sebelum membuat keputusan untuk mengumumkan pelantikan ini.

"Bagaimanapun pelantikan ini bukan untuk dibanggakan sebaliknya jawatan yang diberikan ini merupakan amanah dan tanggungjawab yang harus saya galas sebaiknya,"kata pengarah dan pelakon itu dalam satu kenyataan.

GTA merupakan gabungan politik Melayu pimpinan Dr Mahathir Mohamad dan berhasrat untuk bertanding di 120 daripada 222 kerusi parlimen pada PRU15.

Mahathir yang juga pengerusi GTA sebelum ini memaklumkan gerakan itu akan bertanding di kerusi majoriti Melayu khususnya kawasan tradisi Umno.

Ahmad Idham berkata, melalui pelantikan ini, ia memberi gambaran jelas bahawa GTA bukan sekadar gabungan parti politik sebaliknya turut menggabungkan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan profesional dan individu.

“Buktinya, saya selaku Pengerusi Pertubuhan Briged Prihatin telah dilantik tanpa perlu menyertai mana-mana parti politik.

“Saya komited untuk terus menyampaikan kepada masyarakat bahawa GTA bukan hanya gabungan retorik parti politik seperti yang digembar-gemburkan sebaliknya ia adalah gerakan rakyat untuk rakyat bagi mengangkat pemimpin Melayu Muslim yang berwibawa tanpa terikat kepada politik kepartian.

“Rakyat akan terus bekerja untuk rakyat,” jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS