Produksi Sayap-Sayap Patah mendakwa mereka berdepan ancaman keselamatan daripada golongan dipercayai penyokong kumpulan pengganas di Indonesia yang membantah penghasilan filem diinspirasi daripada kisah benar rusuhan di markas pasukan keselamatan elit negara berkenaan pada 2018.
Penerbit filem itu dan aktivis, Danny Siregar, berkata dia menerima paling banyak ancaman termasuk melalui mesej dalam talian ekoran pengganas tidak mahu kekecewaan mereka difilemkan buat tontonan umum.
“Ancaman paling banyak diterima adalah saya. Mesej-mesej dihantar kepada saya melalui media sosial semuanya penuh dengan orang yang mengancam.
“Sebabnya, dari dulu saya aktif menentang pengganas. Kami juga dapat banyak cacian menerusi media sosial kerana banyak pendukung kumpulan pengganas tak suka dengan filem yang menggambarkan tentang kekecewaan mereka yang nyata.
“Mereka tak dapat terima bahawa kekecewaan mereka difilemkan sekali gus membuat kebencian terhadap keganasan di Indonesia semakin besar,” jelasnya.
Paling membimbangkan, kata Danny, apabila salah seorang bintang Sayap-Sayap Patah, iaitu Nicholas Saputra, mula mengupah beberapa pengawal peribadi setiap kali dia menjalani penggambaran.
Namun, ujarnya, aktor berkenaan tidak pernah berkongsi alasan sebenar mengapa dia tiba-tiba mengambil tindakan sedemikian.
“Nico (Nicholas) juga sekarang seperti ketakutan dan minta pengawal peribadi mengawasi keselamatannya setiap kali di set penggambaran.
“Walaupun dia tak pernah kongsi cerita sebenar, saya amat yakin, dia juga dah terima ancaman,” katanya.
Danny berkata demikian pada majlis pratonton filem Sayap-Sayap Patah di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur kelmarin.
Turut hadir, barisan pelakon seperti Iwa K, Agustinus Gusti Nugroho, Popi Sovia dan Ariyo Wahab. Bagaimanapun, Nicholas dan Ariel Tatum tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu.
Sukar dapat keizinan
Naskhah diarahkan Rudi Soedjarwo itu digarap daripada tragedi berdarah yang berlaku di markas pasukan komando elit indonesia Kota Depok, Indonesia, pada 8 Mei 2018.
Peristiwa hitam itu bermula apabila sekumpulan tahanan pengganas merusuh dan menjadikan sejumlah anggota polis sebagai tebusan selama 39 jam.
Kejadian menggemparkan itu mengakibatkan lima anggota polis Densus 88 dibunuh dengan kejam.
Nicholas membawa watak Adji, seorang daripada anggota Densus 88 yang juga suami kepada Nani (Ariel).
Untuk rekod, filem itu ditonton lebih dua juta orang dengan kutipan tiket sekitar RM40 juta selepas ditayangkan di Indonesia pada Ogos lalu. Naskhah itu bakal menjengah pawagam Malaysia mulai 13 Okt ini.
Mengulas lanjut, Danny berkata, filem tersebut hampir-hampir tidak mendapat keizinan tayangan daripada kerajaan Indonesia kerana memaparkan kelemahan sistem kepolisan mereka dalam memerangi pengganas.
Bagaimanapun, menurutnya, perkara itu berubah selepas pihak polis diyakinkan mengenai mesej yang boleh disampaikan kepada khalayak selain memancing semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat di sana.
“Memang sukar untuk dapat keizinan hasilkan filem ini sebab kejadian berkenaan paling memalukan buat kepolisan Indonesia untuk difilemkan.
“Kerana ternyata kita tahu polis Indonesia itu masih lemah untuk menghadapi pengganas. Tapi, melalui filem ini, kami dapat ketengahkan mesej kepada rakyat Indoensia dan Malaysia bahawa pengganas itu ada, nyata, kejam dan harus dilawan bersama-sama,” katanya.
Diminta mengulas babak yang dipotong untuk tapisan pihak berkuasa, Danny berkata, filem terbitannya itu lebih ‘halus’ kerana tidak memaparkan adegan terlampau mengerikan.
Katanya, dia juga enggan filem tersebut akan menjadi propaganda pengganas.
“Ini lebih halus. Jika melihat imej sebenar, badan anggota polis itu ada yang kepalanya dipotong dari badan. Lihat gambar saja sudah mengerikan.
“Saya ingin kematian polis-polis ini dihadirkan dalam keadaan indah dan cantik meskipun mereka kalah, tapi kalah dengan cara yang terhormat. Ini antara hujah saya untuk dapatkan keizinan daripada kerajaan bagi penggambaran,” jelasnya.